
KOTA MARUDU – Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu berjaya memujuk seorang remaja perempuan berumur 16 tahun yang dipercayai cuba mencederakan diri dalam kejadian di sebuah rumah di sini, pada Isnin.
Menurut BBP Kota Marudu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 10.18 pagi memaklumkan seorang individu mengunci diri di dalam sebuah bilik bersama sebilah pisau.
“Pasukan Bomba yang tiba kemudian bertindak memujuk mangsa bagi menenangkan keadaan. Mangsa kemudiannya cuba keluar melalui tingkap di bahagian belakang bilik.
“Pasukan Bomba seterusnya naik ke bahagian bumbung berhampiran tingkap belakang untuk meneruskan usaha memujuk dan menenangkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Mangsa kemudian berjaya dipujuk sehingga berada dalam keadaan terkawal sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.
Difahamkan, berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga, mangsa dipercayai bertindak sedemikian selepas berlaku perselisihan faham dengan adik-beradiknya.



