
SELEPAS hampir sedekad berdepan kelewatan sehingga dikategorikan sebagai projek sakit, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tudan, Miri akhirnya siap secara fizikal.
Menurut laman sesawang Malaysia Mendidik, sekolah berkenaan disasarkan mula beroperasi pada Januari 2027 dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 murid.
“Perkembangan itu menamatkan penantian panjang susulan projek yang diluluskan pada 2014 di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), sebelum kerja pembinaannya bermula pada 2016.
“SMK Tudan sepatutnya siap pada 2018, namun mengalami kelewatan sehingga projek itu dikategorikan sebagai projek sakit,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menyenaraikan kronologi pembinaan sekolah ini, Malaysia Mendidik menyatakan ianya mengambil masa panjang namun dengan campur tangan kerajaan MADANI, segalanya menjadi kenyataan.
“Pada 2022, kontrak kontraktor asal ditamatkan sebelum kerja pemulihan disambung semula pada 2025 menerusi pelantikan kontraktor penyiap dengan nilai kontrak RM11.47 juta.
“Pembinaan sekolah itu akhirnya disiapkan secara fizikal pada Julai 2026, sekali gus membuka laluan kepada persiapan untuk memulakan operasi pada tahun depan.
“Pembukaan SMK Tudan kelak diharap dapat mengurangkan kesesakan di sekolah berhampiran selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk anak-anak di Miri,” katanya.
Malaysia Mendidik turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek serta semua pihak yang terlibat dalam usaha memulihkan projek berkenaan.
Ujarnya lagi, projek pendidikan bukan sekadar pembinaan bangunan, sebaliknya membawa harapan, masa depan dan peluang pendidikan lebih baik untuk generasi akan datang.



