
PUTRAJAYA – Kerajaan komited melaksanakan setiap perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA), khususnya perkara penting berkaitan reformasi institusi.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan pemeteraian CSA antara kerajaan, Bersatu dan Ahli Parlimen Bebas turut mencerminkan semangat kebersamaan dalam melaksanakan agenda reformasi institusi.
“Ini merupakan satu perkembangan yang positif terhadap kestabilan politik negara serta mencerminkan semangat kebersamaan dalam melaksanakan beberapa usaha reformasi institusi.
“Tindakan menandatangani MoU (perjanjian persefahaman) ataupun CSA ini tidak terbatas kepada 13 orang Ahli Parlimen ini sahaja dan terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berhasrat untuk datang, berbincang dan menandatangani CSA… jadi, pintu perbincangan itu kekal terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Mengulas mekanisme pelaksanaan CSA, Fahmi berkata, kerajaan melihat pendekatan penilaian bersama seperti yang pernah digunakan menerusi perjanjian sama bagi tempoh 2021 hingga 2022 sebagai antara kaedah yang boleh dipertimbangkan.
Katanya, mekanisme berkenaan membolehkan kedua-dua pihak membuat penilaian bagi mengesahkan setiap perkara yang dipersetujui dilaksanakan seperti dijanjikan.
“Kalau kita lihat pada mekanisme yang dibangunkan sewaktu CSA tahun 2021 hingga 2022, memang ada penilaian bersama daripada kedua-dua pihak untuk mengesahkan perkara-perkara yang telah dijanjikan itu dilaksanakan.
“Jadi, kita lihat itu mungkin satu cara untuk kita laksanakan sama seperti apa yang pernah kita saksikan dahulu.
“Jadi, kita harap dengan sokongan padu yang telah diterima, ini akan dapat kita laksanakan,” katanya.
Semalam, kerajaan memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh lagi wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, CSA yang dimeterai bersama Bersatu dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang menjadi landasan penting untuk memperkukuh kestabilan politik negara.
Beliau berkata, perjanjian itu juga bertujuan memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan selain memberi ruang kepada agenda pembangunan negara, termasuk pelaksanaan Belanjawan 2027, berjalan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.


