
MANFAAT subsidi kerajaan dalam sektor kesihatan awam terus mendapat perhatian netizen apabila seorang pengguna Threads berkongsi pengalamannya hanya perlu membayar RM77 bagi kos rawatan hospital yang mencecah RM1,670.
Pengguna Threads, @afiqzulhilmiz berkata, jumlah yang ditanggung kerajaan menerusi subsidi adalah sebanyak RM1,593, sekali gus mengurangkan beban kewangan pesakit.
“Rahmat duduk Malaysia. Masuk hospital patut caj RM1,670 tapi subsidi kerajaan RM1,593. Last bayar RM77 je.
“Benda ni jarang orang cerita, kalau yang tak elok laju ja viral,” katanya menerusi hantaran tersebut hari ini.
Perkongsian itu turut mengundang respons pengguna lain yang berkongsi pengalaman mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, termasuk bagi penyakit serius.
Pengguna Threads, @shazhany berkata, ibunya turut menerima rawatan kanser di hospital kerajaan dan mengakui kemudahan kesihatan awam banyak membantu rakyat menerusi pemberian subsidi.
“Alhamdulillah, mak saya rawat kanser pun di hospital kerajaan. Tak dinafikan hospital kerajaan terbaik bagi subsidi untuk kita sebagai rakyat Malaysia. Cuma sidai je lah sikit,” katanya.

Sementara itu, @suimira.suki berpandangan golongan muda perlu lebih aktif berkongsi pengalaman positif berkaitan kemudahan dan perkhidmatan kerajaan di media sosial supaya maklumat itu turut sampai kepada golongan lebih berusia.
Seorang lagi pengguna, @anasakml turut menzahirkan penghargaan kepada pembayar cukai serta dasar kerajaan yang membolehkan rakyat menikmati kemudahan subsidi kesihatan.
“Terima kasih kepada pembayar cukai dan polisi kerajaan yang baik! Semoga amal jariah buat kalian!” katanya.
Perkongsian itu mencetuskan perbualan mengenai kepentingan kemudahan kesihatan awam dan peranan subsidi dalam membantu rakyat mendapatkan rawatan tanpa perlu menanggung keseluruhan kos perubatan.
Untuk rekod, kerajaan menanggung sebahagian besar kos perubatan, ubat-ubatan, dan pembedahan.
Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengekalkan subsidi ubat-ubatan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di semua fasiliti mereka.



