Gambar hiasan
LONDON – Harga minyak meningkat pada Jumaat susulan kebimbangan kemungkinan Amerika Syarikat (AS) melancarkan semula serangan ketenteraan ke atas Iran, lapor dpa.
Minyak mentah Brent meningkat 1.35 peratus kepada AS$116.43 setong dalam dagangan awal.
Kenaikan itu susulan laporan Wall Street Journal yang memetik pegawai AS bahawa Ketua Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper membentangkan beberapa pilihan ketenteraan terhadap Iran kepada Presiden Donald Trump dalam pertemuan di Rumah Putih pada Khamis.
Pertemuan itu memberi petunjuk kemungkinan operasi besar-besaran AS dilancarkan dalam masa terdekat.
Portal Axios pula melaporkan taklimat itu tertumpu kepada sekatan tentera laut AS terhadap pelabuhan dan kawasan pesisir Iran.
Spekulasi serangan baharu oleh AS dan Israel terhadap Iran meningkat menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS Selasa depan.
Namun media AS turut melaporkan wujud usaha diplomatik baharu pentadbiran Trump dan pengantara serantau dengan Naib Presiden JD Vance dilaporkan memainkan peranan utama.

