TAWAU – Hospital Tawau mengharumkan nama Sabah apabila menjadi hospital pertama di negeri ini dan keempat di Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa ‘Angels Region Award’ atas kecemerlangan perkhidmatan rawatan strok.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, kejayaan itu hasil kerjasama pengurusan hospital, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta pakar perubatan khususnya pasukan neurologi yang memainkan peranan penting dalam rawatan pesakit strok.
“Saya berharap pencapaian ini menjadi rangsangan kepada hospital daerah lain di Sabah untuk turut meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan strok.
“Namun, perkara paling penting bukanlah anugerah yang diterima sebaliknya perkhidmatan terbaik yang dapat diberikan kepada masyarakat,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis penyampaian anugerah berkenaan di Hospital Tawau, pada Khamis.
Menurutnya, setakat Oktober, seramai 41 pesakit strok menerima rawatan menerusi rangkaian rawatan strok di Hospital Tawau berbanding 25 pesakit sepanjang tahun lalu.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, majoriti pesakit berkenaan berupaya kembali bekerja atau menjalani kehidupan seperti biasa selepas mendapatkan rawatan.
“Rawatan awal sangat penting kerana strok boleh menyebabkan pesakit mengalami kelemahan anggota badan, kesukaran bertutur dan hilang keupayaan bergerak sehingga memerlukan bantuan orang lain.
“Bagaimanapun, tahap pemulihan bergantung kepada jenis strok yang dialami, termasuk strok akibat pendarahan dalam otak atau saluran darah tersumbat,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil mudah faktor risiko strok terutama penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi dan diabetes.
Katanya, langkah pencegahan melalui kawalan penyakit, pematuhan pengambilan ubat serta nasihat pakar perubatan perlu diberikan perhatian bagi mengurangkan risiko komplikasi.
Untuk rekod, ‘Angels Region Award’ adalah pengiktirafan antarabangsa kepada hospital atau fasiliti kesihatan yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam penyampaian rawatan strok bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan peluang pemulihan pesakit.



