
BAU – Lebih 1,300 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake bakal menikmati kemudahan pembelajaran lebih moden dan kondusif susulan penyerahan projek pembangunan semula sekolah berkenaan bernilai RM78.8 juta kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, pembangunan itu merupakan antara usaha memperkukuh prasarana pendidikan bagi memastikan pelajar dan guru mendapat kemudahan yang lebih selesa serta berkualiti.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pembinaan bilik darjah baharu, kompleks asrama, makmal, pusat sumber dan bengkel bagi menyokong keperluan pengajaran dan pembelajaran.
“Kemudahan tersebut dijangka memberikan keselesaan kepada pelajar dan guru, selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik serta kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula SMK Lake pada Rabu.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan 42 bilik darjah baharu serta kemudahan asrama yang mampu menempatkan sehingga 300 pelajar.
Pembangunan itu turut merangkumi kemudahan sokongan bagi meningkatkan keupayaan sekolah menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih lengkap.
Dalam pada itu, projek tersebut dilaksanakan secara berfasa bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan sepanjang tempoh pembinaan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Datuk Ir Suhaili Mansor, pelaksanaan secara berperingkat membolehkan bangunan sekolah sedia ada terus digunakan sementara kerja pembinaan bangunan baharu dilaksanakan.
Sijil Pendudukan Separa bagi Fasa Pertama projek berkenaan telah dikeluarkan pada 17 Ogos 2026.
Mordi turut berharap kemudahan yang disediakan dapat menyuntik semangat warga SMK Lake untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kemudahan pendidikan penting bagi menyediakan persekitaran yang mampu menyokong perkembangan ilmu, kemahiran dan potensi generasi muda.
Pembangunan semula SMK Lake itu turut mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan mutu infrastruktur pendidikan, khususnya bagi memenuhi keperluan masyarakat di Bau dan kawasan sekitarnya.



