
KOTA KINABALU – Pelbagai perancangan sedang digerakkan bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM100 bilion menjelang 2030 di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, fokus kini adalah memastikan perancangan pembangunan industri, menarik pelaburan dan penyediaan infrastruktur dilaksanakan.
Katanya, antara keperluan terpenting bagi pembangunan industri di Sabah ialah bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mampu milik.
“Apabila pelabur mempertimbangkan untuk membina kilang atau menjalankan operasi berskala besar di Sabah, mereka perlu mengetahui sama ada kita mampu menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, berapa kosnya serta bila bekalan itu dapat disediakan.
“Ini merupakan persoalan praktikal yang memerlukan jawapan jelas. Pelabur tidak boleh mengoperasikan kilang mereka hanya berdasarkan janji bekalan tenaga pada masa hadapan.
“Mereka perlu mengetahui apa yang benar-benar mampu kita sediakan,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) atau PACE bersama EDGE Summit di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Jelas Hajiji, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Sabah, meskipun negeri ini sedang membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh baharu.
“Kita perlu mengimbangi keperluan tenaga Sabah yang semakin meningkat dengan kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.
“Terdapat keputusan sukar yang perlu dibuat, namun keputusan ini mesti diambil dengan teliti sekiranya kita mahu Sabah terus kekal berdaya saing,” jelasnya.
Menurutnya, Kerajaan Sabah telah mencatatkan kemajuan yang menggalakkan dalam memperkukuh penyertaan Sabah dalam sektor tenaga menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS pada Disember 2021.
“Baru-baru ini, Pelan Pembekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang yang dibentangkan kepada Kerajaan Negeri pada September lalu mengunjurkan bekalan gas Sabah berpotensi meningkat daripada kira-kira 700 juta kaki padu standard sehari kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari menjelang 2030.
“Cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah juga membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di wilayah berkenaan.
“Perkembangan ini amat menggalakkan. Apa yang penting sekarang ialah memastikan projek-projek berkenaan dilaksanakan seperti dirancang dan manfaat yang dijangkakan dapat direalisasikan,” tambahnya.
Hajiji turut memuji prestasi kewangan SEC serta usaha syarikat itu mengembangkan operasinya ke bidang baharu menerusi Agenda Transformasi Tenaga Progresif (PETA 2030).
Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1981, SEC telah berkembang menjadi antara syarikat tenaga terpenting di Sabah dengan peranan yang semakin besar dalam pembekalan, pengangkutan dan pengagihan gas.
Hajiji menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi Kerajaan Negeri yang lain supaya mencontohi usaha SEC dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Setiap agensi Kerajaan Negeri dan GLC mempunyai peranan penting masing-masing.
“Namun, walaupun setiap organisasi menunjukkan prestasi yang baik secara individu, ia tidak semestinya bermakna kita mencapai hasil yang baik secara keseluruhan.
“Penyelarasan yang baik antara agensi dan GLC amat diperlukan, khususnya apabila tanggungjawab mereka saling berkait dalam menyokong sesuatu pelaburan besar,” kongsinya.


