Dr Ahmad Zahid Hamidi
MELAKA – Seramai hampir 72,000 peserta FELCRA di seluruh negara bakal menerima ‘durian runtuh’ apabila FELCRA Berhad mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 Tahun 2026 berjumlah RM190.6 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu membabitkan 734 projek peserta FELCRA bagi tempoh Mei hingga Ogos 2026.
Menurutnya, agihan kali ini melonjak RM63.7 juta atau 50.2 peratus berbanding agihan Interim 1 yang diumumkan Julai lalu.
“Dengan penuh kesyukuran, saya mengumumkan bahawa jumlah Keuntungan Boleh Agih Interim 2 Tahun 2026 bagi projek-projek peserta FELCRA Berhad di seluruh Malaysia ialah sebanyak RM190.6 juta.
“Insya-Allah, pembayaran kepada peserta yang layak akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada hari ini,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-projek Peserta FELCRA Berhad di MITC, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi FELCRA Berhad turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga FELCRA, khususnya petugas di lapangan yang memastikan kerja pembangunan, penjagaan dan penuaian terus berjalan lancar.
Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha bersama semua pihak dan perlu dipertingkatkan bagi memastikan tanah peserta terus memberikan pulangan lebih lumayan pada masa hadapan.



