
KOTA KINABALU – Sabah Law Society (SLS) berpendirian tegas mempertahankan hak perlembagaan negeri ini terhadap pemberian khas 40 peratus hasil Sabah.
Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, prinsip itu termasuk mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi serta relif yang diberikan bagi menangani tempoh antara 1974 hingga 2021 yang lazimnya dirujuk sebagai ‘Tahun-tahun yang hilang’ (Lost Year).
Beliau berkata, hari ini pihaknya hadir ke ahkamah Rayuan membantah rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025, berhubung hak pemberian khas berkenaan.
Katanya, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh mendengar hujahan daripada semua pihak sebelum menangguhkan keputusan penghakimannya pada akhir prosiding.
“Tiada tarikh ditetapkan bagi penyampaian keputusan itu.
“Mahkamah mengarahkan supaya kes tersebut disebut untuk pengurusan kes pada 12 November 2026 melalui e-Review, yang mana tarikh keputusan akan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Menurutnya, bagi memastikan ketepatan maklumat, Kerajaan Persekutuan menyatakan dalam Notis Rayuannya bahawa ia tidak merayu terhadap formula 40 peratus yang termaktub dalam Perlembagaan atau keperluan untuk mengadakan semakan di bawah Perkara 112D.
“Rayuan itu mencabar dapatan dan perintah penting Mahkamah Tinggi berkaitan Tahun-Tahun yang Hilang, proses semakan, relif susulan serta bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan perkara berkenaan merupakan isu yang dipertikaikan untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
“Prosiding ini melibatkan perlindungan perlembagaan yang membawa kesan berpanjangan kepada Sabah dan rakyatnya.
“SLS akan terus meneruskan kes ini dengan persediaan rapi, kebebasan serta keazaman yang sewajarnya berdasarkan kepentingan kes tersebut,” tegasnya.
Jelasnya, pihaknya memulakan prosiding ini demi kepentingan awam, memperoleh relif di Mahkamah Tinggi dan kini mempertahankan keputusan itu dalam rayuan.
“Ini merupakan komitmen institusi yang berterusan oleh SLS untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” tambahnya.
Justeru, beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam atas dedikasi berterusan serta usaha teliti mereka, selain kepada ahli-ahli kami dan orang awam atas sokongan yang berterusan.
“Kami menghormati peranan mahkamah dalam memutuskan rayuan ini. Keazaman kami kekal teguh dan hak perlembagaan Sabah mesti dilaksanakan secara nyata dan berkesan,” ujarnya.
Terdahulu, SLS diwakili David Fung Yin Kee, Jeyan T.M. Marimuttu, Janice Junie Lim, Grace Liew Yung Enn dan Vanessa Maria Marimuttu.


