
PUTRAJAYA – Malaysia memilih pendekatan diplomasi dalam menangani isu pelarian Myanmar di negara ini bagi mendapatkan kerjasama kerajaan berkenaan, meskipun berdepan kecaman dan kritikan antarabangsa terhadap pendirian kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pendekatan itu diambil bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan selepas pelbagai teguran dan kecaman terhadap Myanmar sejak 20 hingga 30 tahun lalu gagal membawa perubahan ketara terhadap dasar negara itu.
Beliau menegaskan, usaha menjalin hubungan diplomatik dengan Myanmar tidak bermakna Malaysia bersetuju atau merestui tindakan negara itu terhadap etnik Rohingya, sebaliknya bertujuan membuka ruang kerjasama dalam menangani isu pelarian.
“Jadi, saya fikir jalan keluarnya ialah untuk cuba menembusi hubungan diplomatik dengan Myanmar.
“Bukan kita kata kita setuju orang itu (pelarian) diusir. Kita tidak mengatakan kita membiarkan apa yang dilakukan, tetapi saya sebut, kita nak bersahabat dengan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai isu pelarian Myanmar pada sesi soal jawab Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri yang turut dihadiri pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, hasil perbincangan dengan Myanmar, negara itu bersetuju membawa pulang sebahagian rakyatnya yang berada di Malaysia dengan kos pengangkutan ditanggung sendiri, termasuk menggunakan pesawat dan kapal tentera milik negara berkenaan.
Katanya, kira-kira 10,300 pelarian Myanmar sudah dibawa pulang setakat ini, manakala 3,000 lagi dijangka mengikuti proses penghantaran pulang pada bulan ini.
Beliau berkata, usaha itu merupakan langkah sementara yang boleh dilaksanakan Malaysia bagi menangani isu pelarian, meskipun mengakui ia belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan masalah berkenaan.
“Apakah mencukupi? Tidak. Apakah dengan ini saya merestui semua keterlanjuran dia? Tidak. Tetapi saya fikir ini jalan sementara yang boleh kita lakukan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan aspek keselamatan perlu diberikan perhatian dalam proses penghantaran pulang berikutan kebimbangan bahawa pelarian yang kembali ke Myanmar mungkin berdepan risiko terhadap keselamatan diri.
Beliau berkata, Malaysia sudah meminta jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa Myanmar, namun mengakui kemampuan negara ini untuk mempengaruhi keadaan di negara berkenaan mempunyai batasan.
Justeru, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomasi bagi mendapatkan kerjasama Myanmar, termasuk mengurangkan jumlah pelarian negara itu yang berada di Malaysia secara berperingkat.


