
KUCHING – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiada halangan menyerahkan kanak-kanak yang diselamatkan melalui Ops Global kepada keluarga atau penjaga sah.
Bagaimanapun, keluarga atau penjaga kanak-kanak tersebut perlu membuktikan mereka adalah penjaga sah dan mempunyai bukti yang kukuh di mahkamah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata bukti tersebut merupakan jaminan kepada keselamatan dan kebajikan kanak-kanak tersebut.
“JKM tiada mempunyai niat mahu memisahkan kanak-kanak daripada keluarga, tetapi bertindak mengikut perintah mahkamah supaya dapat menjaminkan keselamatan kanak-kanak,” kata beliau.
Tambah beliau, JKM mendapati beberapa kanak-kanak tidak pernah bertemu dengan ibu bapa mereka atau tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Sudah pasti jadi cabaran bagi kami dalam usaha menyerahkan mereka kepada individu yang mendakwa sebagai ibu bapa mereka,” kata beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh media selepas menghadiri program Mind Games: Kamek The Best di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong pada Sabtu.
Sebelum itu, sebanyak 660 kanak-kanak telah diselamatkan, namun hanya 559 kanak-kanak masih di bawah jagaan JKM berdasarkan perintah mahkamah.
Selebihnya sudah pun diserahkan kepada keluarga masing-masing susulan tiada tindakan selanjut daripada pihak Majlis Agama Islam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).




