
BINTULU – Zon Maritim Bintulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel yang membawa muatan minyak di perairan Bintulu, sekitar 9.7 batu nautika barat laut Kuala Kemena, pada Jumaat kira-kira 5.15 petang.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, vesel tersebut ditahan ketika operasi OP PERMAI 01/2019, OP NAGA TIMUR, dan OP TIRIS 3.0 dijalankan.
“Pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan oleh tiga kru warganegara Indonesia, termasuk nakhoda yang berusia antara 22 hingga 47 tahun,” kata beliau.
Jelas beliau, kapal tersebut didapati melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mempamerkan Lesen Perkapalan Saudagar (DSL) serta sebarang dokumen penting semasa pemeriksaan dilakukan.
“Jika didapati bersalah, kru kapal boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara selama setahun, atau kedua-duanya,” kata beliau lagi.
Selain itu, ujar beliau, kapal serta kru ditahan dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Maritim Malaysia.






