
KUCHING – Sarawak mahu pelabur membangunkan industri pemprosesan mineral bernilai tinggi di negeri ini, bukan sekadar menjalankan aktiviti perlombongan sebelum mengeksport sumber berkenaan dalam bentuk mentah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kekayaan sumber asli negeri dapat memberikan pulangan ekonomi yang lebih besar kepada rakyat.
Menurutnya, pembangunan sektor mineral perlu dilaksanakan secara bersepadu merangkumi aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran bagi menghasilkan produk bernilai tambah tinggi.

“Kita tak mahu, they just extract our minerals and export it in a raw form (mereka hanya mengeluarkan sumber mineral kita dan mengeksportnya dalam bentuk mentah),” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 di Hotel Sheraton Kuching, pada Rabu.
Awang Tengah juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, kerajaan Sarawak turut memberikan penekanan kepada penggunaan teknologi tinggi serta penyertaan syarikat tempatan dalam pelaburan industri yang dibangunkan di negeri ini.
Menurutnya, pelabur yang mempunyai kemampuan dan kepakaran perlu memberikan ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri.
Beliau berkata, usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan nilai ekonomi sumber mineral, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan meningkatkan kemahiran dan keupayaan perniagaan masing-masing.
Dalam pada itu, Awang Tengah juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak berkata, pendekatan pembangunan industri bersepadu turut diberikan perhatian dalam sektor minyak dan gas, tenaga boleh baharu serta industri pembuatan berteknologi tinggi.
Menurutnya, Sarawak mempunyai potensi besar dalam pembangunan tenaga hidroelektrik, solar dan biotenaga yang mampu menyokong pertumbuhan industri baharu.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga elektrik sekurang-kurangnya 10,000 megawatt menjelang 2030 dan meningkat kepada 15,000 megawatt menjelang 2035.
Katanya, perkembangan industri berkenaan dijangka turut membuka peluang kepada PKS tempatan dalam bidang logistik, perkhidmatan sokongan, pembekalan peralatan dan kerja pembinaan.
Selain sektor mineral, Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak turut menggalakkan pembangunan industri perkayuan bernilai tinggi melalui penghasilan produk seperti perabot dan kayu kejuruteraan.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan lebih banyak aktiviti pemprosesan dilaksanakan di Sarawak berbanding hanya mengeksport bahan mentah.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan perusahaan tempatan supaya mampu memanfaatkan peluang yang diwujudkan melalui pertumbuhan sektor industri dan pelaburan negeri.



