JOHOR BAHRU – Keputusan mengembalikan semula cuti hujung minggu di Johor kepada hari Sabtu dan Ahad merupakan langkah terbaik kepada golongan berkeluarga di negeri ini.
Ahli Dewan Muda Johor, Raden Mohammad Azwan Naharudin berkata, meskipun pelaksanaan cuti pada Jumaat dan Sabtu telah dilaksanakan sejak 2014, namun data menunjukkan hanya satu peratus sektor yang benar-benar menikmati hari hujung minggu berkenaan.
“Pada tahun 2022, rekod menunjukkan terdapat 1.8 juta tenaga buruh di negeri ini dengan 14,000 daripada jumlah itu adalah kakitangan kerajaan.
“Namun, sepanjang hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ditetapkan, hanya mereka terlibat dalam sektor kerajaan termasuklah murid sekolah bercuti pada hari tersebut.
“Tetapi, kebanyakan golongan pekerja swasta masih bekerja seperti biasa dan ini memberikan jurang antara ibu bapa yang bekerja dalam sektor berkenaan dan anak-anak yang bercuti,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, meskipun langkah ini tidak mampu memuaskan hati semua pihak, namun ia adalah tindakan terbaik dalam memberikan manfaat kepada sebahagian besar mereka yang telah berkeluarga.
Katanya lagi, pengembalian dasar cuti Sabtu dan Ahad bermula tahun hadapan sekaligus dapat memenuhi keperluan majoriti rakyat di Johor.






