
IPOH – Sukan disifatkan jambatan yang menghubungkan rakyat dalam mencipta rasa bangga dan cinta kepada tanah air selain pemangkin perpaduan nasional bagi menyatukan rakyat tanpa mengira perbezaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menyifatkan sukan sebagai komponen penting membentuk identiti bangsa yang kuat dan bersatu dalam perjalanan sesebuah negara mencapai kemajuan.
Ujarnya, sukan turut mengajar bahawa kejayaan bukan hasil kerja seorang individu, tetapi melibatkan semua di dalam satu pasukan, masyarakat malah satu negara.
“Berabad lamanya, sukan menjadi lambang dalam usaha menyemai nilai-nilai perpaduan.
“Misalnya di padang, tiada bezanya bangsa, agama, atau latar belakang yang ada hanyalah semangat untuk berusaha, bekerjasama, dan saling menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Bertemakan #cergasbersama dianggarkan hampir 8,000 penduduk negeri ini hadir pada sambutan tersebut yang menghidangkan pelbagai acara termasuk Fun Run dan Futsal.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, dikebanyakkan negara, sukan dianggap pengikat semangat kecintaan kepada negara di kalangan rakyat.

“Sukan bukan sahaja memberi kesan kepada kejayaan fizikal dan mental individu, malah mengangkat maruah negara, menyatukan masyarakat serta meningkatkan imej negara dalam membina hubungan di peringkat antarabangsa.
“Maka sempena Hari Sukan Negara kali ini, saya mengajak kita semua untuk menyerap semangat ini.
“Kita berada di sini bukan hanya meraikan kejayaan, tetapi juga untuk mengingatkan diri tentang pentingnya terus membudayakan sukan dalam kehidupan seharian.
“Kerana dalam setiap gerakan, setiap semangat yang ditunjukkan, dan setiap peluh yang ditumpahkan, kita sedang membina sebuah negara yang lebih kuat, lebih berpadu, dan lebih sihat,” jelas beliau lagi.
Saarani turut berkata, apa jua cabaran yang dihadapi, sukan sentiasa menjadi cermin kepada ketabahan, semangat juang, dan keyakinan kita sebagai rakyat Malaysia.






