
KUCHING – Ekonomi Sarawak diunjurkan berkembang antara lima hingga enam peratus pada 2027, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta pelaksanaan berterusan projek pelaburan strategik.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ekonomi negeri dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga lima peratus pada 2026.
Menurutnya, sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 9.2 peratus pada tahun ini, dipacu pelaksanaan projek infrastruktur utama serta program di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Sektor perkhidmatan yang menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK negeri pula berkembang sebanyak 5.7 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, Sarawak merekodkan kelulusan pelaburan bernilai RM11.2 bilion bagi separuh pertama 2026, melibatkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor primer.
“Prestasi perdagangan luar negeri turut menunjukkan perkembangan positif apabila nilai eksport meningkat 14.7 peratus kepada RM79.2 bilion,” jelas beliau.
Peningkatan itu menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM41.2 bilion, sekali gus mengekalkan kedudukan Sarawak sebagai negeri pengeksport keempat terbesar di Malaysia, berdasarkan angka yang dinyatakan dalam pembentangan tersebut.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak






