
KUANTAN – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengagihkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bernilai lebih RM288,000 menerusi empat program kemasyarakatan sekitar daerah Jerantut, pada 10 dan 11 Oktober lalu.
Sumbangan itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat menerusi penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur, memperkukuh perkhidmatan kesihatan melalui penyediaan peralatan perubatan serta menyokong kelangsungan hidup golongan kurang berkemampuan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan SSM dalam mendukung aspirasi kerajaan bagi membantu golongan memerlukan melalui agihan Wakalah Zakat Korporat dan CSR, selari dengan nilai teras Malaysia MADANI khususnya kesejahteraan dan ihsan.
Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM253,500 adalah sumbangan Wakalah Zakat Korporat yang disalurkan kepada Klinik Kesihatan Kuala Tahan, Klinik Pergigian Kuala Tahan serta tujuh institusi keagamaan.
Selain itu, SSM turut menyampaikan sumbangan CSR berjumlah RM34,565.50 kepada komuniti Orang Asli dan Taman Negara.
Program berkenaan juga menyokong aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang mengiktiraf pendigitalan sebagai teras penting dalam membina ekosistem keusahawanan yang inklusif, progresif dan berdaya saing.
Program selama dua hari itu disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan CSR SSM, Aznorashiq Mohamed Zin.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September 2026, SSM telah mengagihkan lebih RM5.72 juta Wakalah Zakat Korporat kepada 9,532 penerima asnaf di seluruh negara.
Dalam tempoh sama, lebih RM627,000 turut diagihkan menerusi program CSR kepada 1,787 penerima yang layak.







