
SANDAKAN – Program Visit Malaysia Hunt & Explore Media Race dijangka diperluaskan ke daerah Kinabatangan pada tahun depan bagi mempromosikan keunikan ekopelancongan, alam semula jadi dan hidupan liar di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, cadangan itu dibincangkan bersama Tourism Malaysia susulan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran Hunt & Explore Media Race 2026 di Sandakan.
“Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan kejayaan program ini dan sambutan yang diberikan oleh para peserta.
“Kita bersama-sama Tourism Malaysia bersetuju untuk mengadakan penganjuran lebih besar tahun depan, dengan cadangan melibatkan dua daerah iaitu Sandakan dan Kinabatangan,” ujarnya kepada media selepas perasmian Majlis Makan Malam Gala sempena VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 Sandakan di Dewan Tropicana, Elopura Hotel, di sini pada Sabtu.

Menurut Jafry, kedua-dua daerah itu mempunyai tarikan tersendiri, khususnya keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian hidupan liar yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
“Kinabatangan turut dikenali dalam kalangan pelancong Eropah, manakala Sandakan mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai destinasi pelancongan pilihan di Sabah.
“Perancangan memperluaskan program ini akan dibincangkan lanjut bersama Tourism Malaysia bagi memastikan penganjuran tahun depan dapat dilaksanakan pada skala lebih besar.,” kongsinya.
Tambah Jafry, program berkenaan berjaya menarik kira-kira 121 peserta, termasuk golongan pempengaruh yang berperanan membantu mempromosikan destinasi pelancongan di daerah ini.
Tambahnya lagi, usaha berkenaan juga selari dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027, sekali gus memperkukuh promosi destinasi pelancongan negeri itu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.







