
KOTA KINABALU – Kerajaan memperuntukkan RM204 juta bagi pemasangan Sistem Statcom di dua pencawang utama di Sabah, selain meneruskan projek Talian Penghantaran Southern Link bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di negeri ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemasangan sistem itu akan dilaksanakan di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud.
“Kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos 204 juta ringgit.
“Sementara itu, projek Talian Penghantaran Southern Link diteruskan sebagai ikhtiar jangka panjang kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” ujarnya semasa membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, selain pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan, Kerajaan Persekutuan masih menyediakan RM600 juta bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.
Kongsinya, sokongan kewangan itu diteruskan walaupun kuasa kawal selia elektrik sudah diserahkan kepada kerajaan negeri.
Tambahnya, penyerahan kuasa kawal selia berkenaan merupakan antara perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah dimuktamadkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Belanjawan MADANI 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dibentangkan berteraskan lapan lunas utama, termasuk mengutamakan pembangunan semua negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.









