
KUALA LUMPUR – Nilai transaksi Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mencecah RM5.2 bilion dengan hampir 8.4 juta penerima menggunakan MyKad untuk membeli keperluan asas sehingga 20 September lalu.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, kadar penggunaan bantuan berkenaan mencapai 99.7 peratus, dengan sembilan negeri mencatatkan kadar penggunaan 100 peratus.
Negeri terbabit ialah Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak, Terengganu, Perak, Pahang dan Labuan.
“Kadar penggunaan terendah direkodkan di Putrajaya iaitu 94 peratus, diikuti Johor dengan 95 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Bagi SARA Untuk Semua pula, lebih 20 juta rakyat sudah membuat perbelanjaan, iaitu 90 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan hampir RM1.9 bilion.
Jawapan itu diberikan kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin mengetahui jumlah peruntukan SARA yang sudah dibelanjakan sehingga September lalu mengikut negeri serta mekanisme kerajaan mengukur keberkesanan bantuan berkenaan dalam meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah selepas mengambil kira kenaikan kos makanan, pengangkutan dan keperluan asas.
MoF berkata, sebanyak RM15 bilion disediakan untuk STR dan SARA tahun ini berbanding RM10 bilion pada 2024, bagi memberi manfaat kepada hampir sembilan juta penerima.
Katanya, bantuan itu, terutama SARA, adalah mekanisme bantuan bersasar kepada golongan yang memerlukan tanpa ketirisan atau pertindihan penerima.
“Peningkatan peruntukan untuk STR dan SARA dari tahun ke tahun ialah komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial,” katanya.
Kementerian itu berkata, antara petunjuk utama keberkesanan program STR dan SARA dalam meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana adalah berdasarkan prestasi perbelanjaan penerima.
Katanya, SARA ialah bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui MyKad dan boleh digunakan di premis berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA bagi membeli 15 kategori barangan keperluan asas.
Kategori berkenaan termasuk barang kebersihan diri, barangan kebersihan rumah, ubat-ubatan dan barangan makanan asas.
“Pendekatan ini membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara berkesan dan memastikan golongan sasar benar-benar memanfaatkan bantuan bagi tujuan dinyatakan,” katanya.
MoF berkata, langkah itu turut membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa, sekali gus mencerminkan pendekatan lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial.
“Kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan program bantuan kerajaan terus disalurkan kepada golongan memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya.




