Belanjawan 2027: Sabah tidak perlu kejar semua industri, fokus kekuatan sedia ada

KOTA KINABALU – Sabah tidak perlu cuba mengejar semua jenis industri, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada kekuatan ekonomi yang sememangnya sudah dimiliki negeri itu, khususnya pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Izaan Azyan Abdul Jamil berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memanfaatkan kekuatan Sabah yang sedia ada dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama berkenaan.

Menurutnya, sektor pertanian perlu diberikan perhatian lebih serius kerana Sabah mempunyai tanah yang subur serta potensi pertanian yang sangat besar.

“Kita perlu melihat bil import makanan tahunan bukan semata-mata sebagai satu masalah, tetapi juga sebagai satu peluang ekonomi.

“Sekiranya Malaysia mengimport makanan bernilai sekitar RM80 bilion dan Sabah mampu menguasai walaupun lima peratus daripada pasaran tersebut, ia sudah mewakili peluang ekonomi yang sangat besar kepada negeri ini.

“Kita tidak semestinya perlu sentiasa mencari sesuatu yang baharu. Kadangkala, peluang yang kita cari sebenarnya sudah berada di depan mata,” katanya ketika dihubungi wartawan TMP, pada Rabu.

Tambah Izaan, Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu memberikan peruntukan yang bernas kepada petani sedia ada dan bakal petani bagi meningkatkan produktiviti, mendapatkan akses kepada pasaran, menggunakan teknologi serta memanfaatkan peluang pasaran yang tersedia.

Tenaga boleh diperbaharui

Dalam masa sama, beliau melihat tenaga boleh diperbaharui sebagai sektor yang semakin penting kepada Malaysia, dengan Sabah mempunyai peluang untuk memainkan peranan lebih besar.

“Kerajaan Persekutuan melalui Sabah perlu memanfaatkan kelebihan semula jadinya untuk membangunkan ekonomi hijau yang lebih kukuh, termasuk dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan peluang berkaitan karbon.

“Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan strategi tersebut dilaksanakan dengan berkesan dan diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang sebenar kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

Menurut beliau, Sabah mempunyai potensi dalam solar, tenaga hidro, biojisim dan teknologi tenaga bersih yang bersesuaian dengan keadaan negeri itu.

Namun, katanya, Sabah tidak seharusnya berhenti pada penghasilan tenaga sahaja, sebaliknya perlu melihat peluang menarik industri yang menggunakan tenaga hijau sebagai input utama bagi mencipta aktiviti ekonomi dan pekerjaan bernilai tinggi.

Pelancongan perlu beri nilai ekonomi lebih besar

Bagi sektor pelancongan pula, Izaan berkata, Sabah bukan sahaja perlu meningkatkan jumlah pelancong, tetapi turut memastikan mereka tinggal lebih lama dan berbelanja lebih banyak.

“Meningkatkan jumlah pelancong ke Sabah hanyalah sebahagian daripada usaha. Kita juga perlu menggalakkan mereka tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak dan meneroka lebih banyak kawasan bagi memberi manfaat lebih besar kepada perniagaan serta komuniti tempatan.

Beliau berkata, insentif pelancongan perlu bukan sahaja menarik lebih ramai pelancong, tetapi turut meningkatkan perbelanjaan dan tempoh tinggal mereka melalui pembangunan infrastruktur, pengangkutan, digitalisasi, kemudahan serta produk pelancongan baharu.

Bukan sekadar umum peruntukan

Dalam pada itu, Izaan menegaskan Belanjawan 2027 tidak sepatutnya hanya mengumumkan peruntukan baharu, sebaliknya memastikan peruntukan yang telah diluluskan benar-benar diterjemahkan kepada projek yang siap dan boleh digunakan rakyat.

Beliau mengambil contoh projek Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang menurutnya daripada 35 pakej kerja, hanya empat pakej atau 11.4 peratus telah siap setakat 31 Mac 2026 dan daripada baki 31 pakej, sembilan diklasifikasikan sebagai projek sakit manakala 13 pula lewat daripada jadual.

“Kalau masalahnya ialah kekurangan peruntukan, peningkatan kos atau isu pelaksanaan, Belanjawan 2027 perlu digunakan untuk menyelesaikan ‘bottleneck’ (halangan utama) tersebut,” jelasnya lagi.

Setiap ringgit mesti sampai kepada rakyat

Menurutnya lagi, kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya dilihat berdasarkan angka pertumbuhan ekonomi atau jumlah peruntukan semata-mata.

“Pada akhirnya, belanjawan adalah wang rakyat. Jadi, perkara yang paling penting ialah setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup mereka,” tegas beliau.

Selain itu, katanya, setiap pelan pembangunan yang dirancang perlu mempunyai sasaran, tempoh pelaksanaan dan mekanisme pemantauan yang jelas.

“Pada akhirnya, rakyat tidak melihat angka KDNK semata-mata. Mereka melihat sama ada kehidupan mereka menjadi lebih baik atau tidak.

“Setiap ringgit yang diperuntukkan mesti sampai kepada rakyat, setiap projek yang dirancang mesti dilaksanakan dengan baik dan setiap pelaburan kerajaan mesti menghasilkan manfaat ekonomi yang nyata.

“Kalau kita dapat memastikan perkara ini berlaku, barulah pertumbuhan ekonomi bukan sekadar cantik di atas kertas, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat,” ujarnya.

Related Posts

PMX terbuka rakyat tanya intipati Belanjawan 2027

PUTRAJAYA – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, pada Jumaat dijadikan platform buat jemaah untuk bertanyakan mengenai intipati Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

KOTA KINABALU – Bekalan elektrik yang stabil dan berterusan perlu menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2027 bagi menyokong kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Sabah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PMX terbuka rakyat tanya intipati Belanjawan 2027

PMX terbuka rakyat tanya intipati Belanjawan 2027

Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

Pasaran buruh terus positif, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus

Pasaran buruh terus positif, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus

Tiga premis diserbu, KPDN Sandakan sita daun terup tiruan bernilai RM55,079

  • By Ithma
  • October 9, 2026
Tiga premis diserbu, KPDN Sandakan sita daun terup tiruan bernilai RM55,079

Sindiket dadah antarabangsa guna jet peribadi elak kawalan ketat KLIA

Sindiket dadah antarabangsa guna jet peribadi elak kawalan ketat KLIA

Belanjawan 2027 ringankan kos, beban sara hidup masyarakat

Belanjawan 2027 ringankan kos, beban sara hidup masyarakat