
KOTA SAMARAHAN – Seramai 279 warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan wakil agensi berkaitan menyertai Siri Inspirasi Kesejahteraan 2026 serta Kursus Prapersaraan 2026 yang memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan warga kerja dan persediaan menghadapi alam persaraan.
Program bertemakan ‘Menyemai Budaya Kerja Sejahtera’ itu dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar UNIMAS di DeTAR PUTRA pada 1 Oktober lalu bersempena dengan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera.
Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli berkata, budaya kerja yang cemerlang bukan sahaja diukur menerusi pencapaian organisasi, tetapi ia juga perlu diseimbangkan dengan aspek kesejahteraan dan pembangunan insan.
“Keseimbangan ini amat penting supaya warga kerja dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dalam persekitaran yang lebih positif dan produktif,” katanya.
Menurut kenyataan rasmi UNIMAS, program tersebut menampilkan dua forum dialog bertajuk “Memanusiakan Kepimpinan: Mengimbangi Prestasi dan Kesejahteraan Warga Kerja” serta ‘Kesejahteraan Warga Kerja: Memupuk Insan, Memacu Kecemerlangan’.

Kedua-dua sesi memfokuskan kepada gaya kepimpinan berasaskan empati, kepercayaan, serta keseimbangan antara tuntutan prestasi organisasi dengan kebajikan pekerja.
Turut diadakan ialah sesi Inspirasi Kesejahteraan bersama pempengaruh dan penceramah bebas, Fazeera Nazri Azrai menerusi perkongsian “Mencari Bahagia dalam Kehidupan dan Pekerjaan” yang mengetengahkan aspek pengenalan diri, pembentukan perspektif positif dan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya.
Selain itu, program tersebut diserikan dengan Pertandingan Poster Inovasi Kesejahteraan Minda. Kesemua penyertaan menerima penarafan Emas selepas dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada wakil institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pakar bidang kaunseling.
Sementara itu, Kursus Prapersaraan 2026 yang berlangsung di Galeri DeTAR PUTRA memberi pendedahan kepada bakal pesara mengenai skim pencen sektor awam, kemudahan perubatan selepas persaraan serta pengurusan dokumentasi berkaitan.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Penolong Pengarah Unit Prosesan Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Negeri Sarawak, Tan Hang Keng yang berkongsi persediaan menghadapi persaraan merangkumi elemen kewangan, emosi, fizikal dan sosial.
Secara keseluruhannya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu warga universiti mendepani cabaran kerjaya dan kehidupan secara lebih seimbang, di samping mewujudkan persekitaran kerja yang mampan.
Sebagai rekod, Bulan Malaysia Sihat Sejahtera merupakan inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang memberi penekanan kepada pembudayaan hidup sihat melalui penglibatan pelbagai sektor termasuk institusi pendidikan dan tempat kerja.




