
PUTRAJAYA – Sebarang kenaikan gaji minimum perlu dinilai dengan teliti sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan ekonomi negara, bukannya sebagai penyelesaian tunggal kepada isu pendapatan rakyat dalam berdepan peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global
Penganalisis sosiopolitik, keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berpandangan, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara tiga kepentingan, iaitu melindungi pekerja daripada kemiskinan dan eksploitasi, mengekalkan daya saing perusahaan, serta mempercepatkan peralihan kepada ekonomi bernilai tambah tinggi.
Beliau memaklumkan, sekiranya gaji meningkat tanpa produktiviti dan tidak seiring dengan keadaan semasa, permasalahan agihan pendapatan dan keselamatan insan tidak dapat direalisasikan dan kerana itu, risiko tekanan kos dan pengurangan peluang pekerjaan perlu diuruskan
“Ukuran kejayaan dasar gaji minimum seharusnya bukan hanya berapa tinggi paras gaji ditetapkan, tetapi sejauh mana dasar tersebut berjaya menghasilkan pekerjaan yang lebih berkualiti, produktiviti yang lebih tinggi, pendapatan yang lebih adil, perlindungan sosial yang lebih kukuh dan masyarakat yang lebih berdaya tahan.
“Perkara terbabit adalah selari dengan arah yang digariskan Bank Negara (BNM) bahawa Malaysia perlu bergerak daripada model berasaskan buruh kos rendah kepada ekonomi yang mencipta nilai melalui kemahiran, teknologi, inovasi dan produktiviti.
“Gaji minimum bukan lagi sekadar isu hubungan industi tetapi mempunyai dimensi strategik yang merangkumi hubungan antarabangsa, daya saing ekonomi, keselamatan negara, keselamatan insan di samping pembangunan modal insan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Nur Ashikin berkata, pendekatan paling penting ialah memastikan kenaikan gaji tidak berdiri secara bersendirian, tetapi menjadi sebahagian daripada ekosistem “wage growth + productivity + skills + social protection”.
“Dengan pendekatan tersebut, peningkatan gaji boleh dilihat bukan sekadar sebagai peningkatan kos kepada majikan, tetapi sebagai pelaburan terhadap kestabilan sosial, kualiti modal insan dan daya tahan ekonomi Malaysia dalam menghadapi persaingan antarabangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, jika kenaikan gaji disertai automasi, digitalisasi dan peningkatan kemahiran, tekanan kos tersebut boleh menjadi pemangkin kepada transformasi struktur ekonomi, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta sektor yang bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran rendah.

“Pengalaman Malaysia sendiri menunjukkan bahawa produktiviti buruh meningkat 3.4 peratus pada 2025, namun pertumbuhan produktiviti tersebut masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada pertumbuhan gaji yang sepadan. Bank Negara Malaysia turut menyatakan bahawa sejak 2019, produktiviti meningkat secara kumulatif sebanyak sembilan peratus.
“Sedangkan gaji benar pekerja sektor swasta masih menurun 1.7 peratus, menunjukkan bahawa isu utama bukan semata mata sama ada gaji minimum perlu dinaikkan, tetapi bagaimana pertumbuhan produktiviti dan nilai ekonomi diagihkan dengan lebih seimbang kepada pekerja,” katanya.
Dari perspektif keselamatan insan, Nur Ashikin berkata, gaji minimum perlu dilihat melalui konsep ‘freedom from want’, iaitu keupayaan individu memenuhi keperluan asas dan menjalani kehidupan dengan bermaruah yang mempunyai pendapatan lebih stabil, selain memiliki kapasiti lebih baik untuk menghadapi kejutan ekonomi seperti kehilangan pekerjaan, kenaikan harga atau kecemasan keluarga.
Beliau memaklumkan, gaji yang mencukupi bukan hanya meningkatkan pendapatan pekerja, tetapi boleh memberi kesan kepada keselamatan makanan, akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan anak, perumahan dan kestabilan keluarga.
“Dalam erti kata lain, pekerja Justeru, kenaikan gaji minimum mempunyai dimensi keselamatan insan kerana ia mengurangkan bentuk kerentanan yang berpunca daripada ketidakcukupan pendapatan. Namun, pendekatan ini perlu mengambil kira bahawa gaji minimum tidak sama dengan living wage.
“Bank Negara sendiri menegaskan bahawa gaji minimum merupakan perlindungan asas, tetapi Malaysia memerlukan mekanisme yang lebih luas supaya pekerjaan bukan sekadar memberikan pendapatan melepasi paras minimum, sebaliknya menyediakan laluan kepada mobiliti ekonomi dan taraf hidup yang munasabah,” katanya.








