
KUALA LUMPUR – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kekal diteruskan dengan hanya menyerap elemen positif Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mengelakkan kesan bertindih serta berganda dalam sistem percukaian negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan kekal dengan SST kerana sistem berkenaan lebih mudah difahami dan mempunyai sejarah pelaksanaan lebih 50 tahun.
“Ramai mencadangkan GST kerana sistem ini diamalkan negara lain. GST atau Cukai Nilai Tambah (VAT) bermula di Perancis pada 1954 dan ketika itu, tiada e-Invois.
“Kini kita sudah ada e-Invois, maknanya tidak ada ketirisan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai sama ada kerajaan merancang menggabungkan SST dan GST seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau mempertimbangkan pelaksanaan GST.

Chin Tong berkata, pelaksanaan GST memerlukan kira-kira 480,000 syarikat bertindak sebagai ejen pemungut cukai, berbanding hanya 80,000 syarikat bagi SST.
Katanya, kerajaan mahu memastikan sistem percukaian yang diwujudkan tidak membebankan majoriti pihak, khususnya pengguna dan perniagaan.
“Apa yang kita nak wujudkan adalah satu sistem yang tidak mengganggu pihak teramai dan GST ada laluan terus kepada pengguna.
“Kerajaan mahu mewujudkan satu keseimbangan supaya pengguna tidak diganggu dan memastikan tidak ada kesan bertindih kepada perniagaan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan asal Hamzah mengenai jumlah keseluruhan kutipan cukai negara bagi tahun semasa berbanding tahun sebelumnya, Chin Tong berkata kutipan sehingga Jun 2026 meningkat sembilan peratus kepada RM129.6 bilion.
Jumlah itu berbanding RM119.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan hasil berkenaan antaranya disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi serta cukai jualan dan perkhidmatan, khususnya daripada sektor makanan dan minuman, perkhidmatan insurans serta logistik.
“Kerajaan komited mencapai sasaran kutipan hasil cukai bagi keseluruhan 2026 berjumlah RM343.1 bilion.
“Pertumbuhan ekonomi makro yang stabil dijangka terus memberi kesan positif kepada peningkatan kutipan cukai,” katanya.
Beliau berkata, langkah reformasi percukaian secara bersasar turut dilaksanakan bagi memastikan mekanisme kutipan hasil lebih efektif, selain menyokong usaha membina keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi dan daya saing negara.








