
SERIAN – Tiga projek Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP) membabitkan kerja-kerja menaik taraf jalan pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu telah siap dilaksanakan dengan kos keseluruhan berjumlah RM450,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, kesemua projek berkenaan dikendalikan melalui agensi pelaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Serian, bertujuan meningkatkan kemudahan perhubungan serta memberi manfaat khusus kepada komuniti peladang setempat.
Menurut beliau, antara projek yang telah siap dibina ialah jalan pertanian Pangkad di Kampung Jenan sepanjang 583 meter dengan kos sebanyak RM150,000.
“Turut dilaksanakan adalah projek menaik taraf jalan pertanian Danu Terup, Sungai Belung, Sedihan di Kampung Pichin sepanjang 450 meter yang juga menelan perbelanjaan RM150,000.
“Sementara itu, projek ketiga melibatkan naik taraf laluan pertanian Mpayang-Mabu di Kampung Payau Burus sepanjang 620 meter dengan nilai peruntukan yang sama (RM150,000),” katanya ketika melakukan tinjauan bagi melihat perkembangan projek berkenaan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Simon menjelaskan bahawa penambahbaikan akses tersebut berupaya memudahkan pergerakan harian penduduk, terutamanya untuk mengangkut hasil dari kawasan kebun terus ke lokasi pengumpulan dan pasaran.
Jelasnya, kemudahan jalan infrastruktur yang efisien amat kritikal bagi menyokong kelancaran rantaian bekalan aktiviti pertanian masyarakat setempat.
Pelaksanaan projek-projek RTP itu merupakan inisiatif berterusan pihak kerajaan bagi memperkukuh fasiliti asas di kawasan luar bandar, di samping melonjakkan tahap sosioekonomi penduduk di kawasan DUN Tebedu.






