
KUANTAN – Bekas jurutera rangkaian telekomunikasi 5G bagi Wilayah Timur, Ahmad Murad Mat Hasim @ Idris dilantik sebagai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, hari ini.
Selain mempunyai pengalaman dalam bidang telekomunikasi, Ahmad Murad juga dikenali sebagai ahli belia yang aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Jerantut.
Majlis penyerahan watikah pelantikan itu dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah, dekat sini, pagi tadi.
DUN Tahan yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerantut ketika ini disandang wakil rakyat daripada Pas, Mohd Zakhwan Ahmad Badarrdin.
Dua lagi DUN di Jerantut adalah DUN Pulau Tawar dan Damak, juga dimenangi oleh calon Pas pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud memaklumkan pemilihan Ahmad Murad sebagai penyelaras DUN Tahan adalah tepat pada masa.
“Saya fikir ia (pemilihan) dibuat selepas Datuk Seri Wan Rosdy mengambil kira pelbagai faktor.
“Ia juga penting memandangkan PRU akan datang sudah makin hampir. Jadi, saya harap semua penduduk di DUN Tahan dapat memberi sokongan kepada Ahmad Murad.
“Tugas utama adalah memenangi semula tiga DUN di Jerantut dan begitu juga dengan kerusi Parlimen,” katanya kepada The Malaysia Press.
Sebagai anak jati Pulau Mansuk, kata Razak, Ahmad Murad mempunyai hubungan rapat dengan penduduk sekitar dan mempunyai peluang yang baik untuk memberi kemenangan kepada UMNO di kerusi itu.
Sebelum ini, Wan Rosdy sudah melantik Norsarfinaz Mohd Azman sebagai penyelaras bagi DUN Pulau Tawar, manakala DUN Damak pula diselaras oleh Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang.






