
KUALA LUMPUR – Kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan diumumkan bulan ini bakal ditetapkan pada kadar mampu milik bagi memastikan perkhidmatan berkenaan dapat dinikmati pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pengumuman kadar tambang itu akan membuka laluan kepada penjualan tiket yang disasarkan bermula November ini.
Menurut beliau, ECRL dijadual memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini, dengan MRL berharap penjualan tiket dapat dibuka sepanjang bulan depan.
Bagaimanapun, katanya, kadar tambang masih menunggu keputusan kerajaan dan pengumumannya akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan.
“ Kita berharap penjualan tiket kalau boleh dibuka sepanjang bulan November,” katanya pada Sidang Pengarang Berhubung Kesiapsiagaan Operasi ECRL bersama media arus perdana, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSB), Mohd Zaidi Sharif berkata, tambang ECRL selaras dengan perkhidmatan yang menawarkan perjalanan lebih premium, selesa dan boleh dipercayai.
“Dari segi penentuan harga, kemampuan atau mampu milik adalah salah satu faktor utama untuk menentukan harga.
“Kita meletakkan perkhidmatan ini antara harga tiket bas dan penerbangan, dengan menawarkan perjalanan yang lebih premium, lebih selesa dan lebih boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata, ECRL turut menyasarkan tahap ketepatan masa antara 95 hingga 99 peratus bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi keperluan pengguna.
Berdasarkan pelan operasi semasa, sebanyak 12 perjalanan akan disediakan pada hari bekerja, manakala 13 perjalanan pada hujung minggu.
Menurutnya, jumlah perjalanan berkenaan membolehkan ECRL menyediakan antara 2.2 juta hingga 2.5 juta tempat duduk setahun.





