
PUTRAJAYA – Taktik licik sindiket penipuan dalam talian antarabangsa menjadikan sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing, Pahang yang ditutup sejak tahun lalu sebagai pusat panggilan terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia.
Lebih mengejutkan, sindiket terbabit dipercayai sanggup membayar sewa kira-kira RM30,000 sebulan untuk menjadikan premis di Jalan Sungai Arang, Sungai Lembing, Kuantan, Pahang itu sebagai markas operasi lengkap dengan kemudahan internet.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pada Isnin lalu dibuat menerusi operasi khas Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Pahang, selepas risikan kira-kira sebulan.
Beliau berkata, seramai 98 individu ditahan membabitkan 95 warga asing dan tiga warga tempatan termasuk pemilik pusat peranginan berkenaan.
“Daripada jumlah itu, 84 lelaki dan empat wanita warga China, seorang lelaki serta seorang wanita Myanmar, masing-masing seorang wanita Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Russia.
“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pemilik pusat peranginan tersebut serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai bekerja di situ,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.

Zakaria berkata, semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun dan dipercayai terbabit dalam operasi sindiket berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 49 pasport China, selain masing-masing satu pasport Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong dan Rusia serta satu Surat Perjalanan Laksana Paspor Indonesia.
“Turut dirampas, 100 telefon bimbit, 120 set komputer, satu sistem kamera litar tertutup, sembilan bungkusan kad SIM yang belum digunakan, wang tunai RM5,000 serta 11 set peralatan telekomunikasi Starlink yang dipercayai digunakan sebagai talian internet.
“Pusat peranginan ini sebenarnya sudah ditutup dan mengikut rekod, kali terakhir ia beroperasi adalah pada 2025.
“Lokasinya agak terpencil dan sindiket ini turut menggunakan individu tertentu sebagai tonto untuk memantau sebarang pergerakan keluar masuk ke kawasan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mempunyai modus operandi berpindah-randah dari satu negara ke negara lain bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai menjalankan operasi selama 24 jam menggunakan sistem syif dan sudah beroperasi di lokasi terbabit sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Mengulas penggunaan Starlink, beliau berkata, internet satelit itu dipercayai digunakan sindiket bagi mengelak pengesanan menerusi rangkaian telekomunikasi tempatan.
Katanya, individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama.





