Sabah jadi tumpuan pendaki dunia, 250 peserta sertai Kinabalu Climbathon edisi ke-33

KOTA KINABALU – Kira-kira 250 pelari dari 26 negara dijangka menyertai Mount Kinabalu International Climbathon edisi ke-33 yang akan berlangsung pada 18 Oktober ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi sukan, pengembaraan dan pelancongan bertaraf antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, acara berkenaan sekali lagi menjadi sebahagian daripada Merrell Skyrunner® World Series 2026, yang menghimpunkan pelari skyrunning terbaik dunia dalam siri perlumbaan gunung berprestij.

“Mount Kinabalu merupakan perlumbaan yang ke-17 daripada 19 dalam litar 2026 ini dan sekaligus meletakkan Sabah pada kedudukan penting dalam siri ini apabila para pelari bersaing untuk mengumpul mata dan memperbaiki kedudukan mereka sebelum SkyMasters Grand Finale di Marató dels Dements, Sepanyol pada 7 November 2026.

“Kira-kira 20 pelari utama kategori lelaki daripada Merrell Skyrunner® World Series dijangka mencabar laluan Gunung Kinabalu pada tahun ini, selain penyertaan atlet dalam kategori elit lelaki, elit wanita dan veteran lelaki.

“Peserta Climbathon dipilih berdasarkan profil serta pengalaman larian yang dikemukakan, bersesuaian dengan tahap cabaran Gunung Kinabalu dan acara ini merupakan acara yang diiktiraf International Trail Running Association (ITRA),” katanya kepada sidang media di pejabatnya, pada Selasa.

Menurut Jafry, pelepasan peserta Mount Kinabalu International Climbathon akan berlangsung pada 6.30 pagi, 18 Oktober ini di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu.

“Antara negara yang mengambil bahagian ialah Australia, Belgium, Brunei, Chile, China, Chinese Taipei, Perancis, Great Britain, Hong Kong, India, Indonesia, Thailand, Itali, Jepun, Macau, New Zealand, Norway, Palestin, Filipina, Rusia, Singapura, Sepanyol, Taiwan, Amerika Syarikat dan Vietnam, selain Malaysia.

“Penganjuran Climbathon mempunyai sejarah panjang sejak 1987 apabila ia pada peringkat awal diwujudkan bagi menyediakan pasukan penyelamat pantas untuk membantu pendaki sekiranya berlaku kecemasan, khususnya dalam keadaan cuaca mencabar.

“Sabah Tourism Board mengambil alih penganjuran pada 1995 selepas melihat potensi Climbathon yang telah berkembang menjadi acara yang dikenali serta sebagai platform mempromosikan Sabah di peringkat antarabangsa.” kongsinya

Sehubungan itu, Jafry berkata Timpohon Run 2026 akan berlangsung sehari sebelum Climbathon, iaitu pada 17 Oktober, sebagai acara pembuka kepada perlumbaan utama berkenaan.

“Larian sejauh kira-kira 10 kilometer itu akan bermula dari Dewan Kinabalu di Kinabalu Park menuju ke Timpohon Gate sebelum peserta kembali melalui Silau-Silau Trail dan menamatkan larian di Dewan Kinabalu.

“Lebih 350 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Filipina telah mendaftar bagi Timpohon Run tahun ini, dengan penyertaan dihadkan kepada pelari yang tidak bertanding dalam Mount Kinabalu International Climbathon.

“Hadiah wang tunai ditawarkan kepada lima pemenang terbaik bagi kategori lelaki terbuka dan wanita terbuka,” jelasnya

Tambah Jafry, kedua-dua acara berkenaan turut memberikan peluang untuk memperkenalkan Sabah sebagai destinasi sukan, pengembaraan dan pelancongan antarabangsa, khususnya menerusi latar semula jadi Kinabalu Park.

“Kinabalu Park diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2000 dan kemudiannya turut diiktiraf sebagai Kinabalu UNESCO Global Geopark pada 2023.

“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu juga memberi nilai tambah kepada usaha memperkenalkan kekayaan biodiversiti serta keunikan alam semula jadi Sabah kepada peserta dan pelawat dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik yang menyokong penganjuran Mount Kinabalu International Climbathon edisi ke-33 dan Timpohon Run 2026, antaranya Tourism Malaysia, BigBigPlace, Life Water Industries (K2 Drinking Water & Tritonic), Sutera Sanctuary Lodges, Sabapak Eco, Kinabalu Heritage Car Rental & Truly Borneo Tours & Travel, ZEAK serta Wave and Engine.

Related Posts

Gempa bumi bermagnitud 5.0 dikesan di perairan Sandakan

SANDAKAN – Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 berlaku di perairan Sandakan, Sabah pada jam 9.11 malam tadi. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin, memaklumkan gempa itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan Kelantan, Pentadbir Tanah Pasir Mas diperintah bayar ganti rugi RM17.46 juta

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan dan Pentadbir Tanah Daerah Pasir Mas diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM17.46 juta kepada 348 peserta FELCRA Bukit Tandak berhubung pengeluaran tender pembalakan pokok getah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Imigresen serbu resort terbiar jadi pusat sindiket penipuan antarabangsa

Imigresen serbu resort terbiar jadi pusat sindiket penipuan antarabangsa

Sabah jadi tumpuan pendaki dunia, 250 peserta sertai Kinabalu Climbathon edisi ke-33

Sabah jadi tumpuan pendaki dunia, 250 peserta sertai Kinabalu Climbathon edisi ke-33

GRS sasar lebih 15 kerusi Parlimen Sabah pada PRU akan datang

GRS sasar lebih 15 kerusi Parlimen Sabah pada PRU akan datang

Gempa bumi bermagnitud 5.0 dikesan di perairan Sandakan

  • By Fandi
  • October 6, 2026
Gempa bumi bermagnitud 5.0 dikesan di perairan Sandakan

Kerajaan Kelantan, Pentadbir Tanah Pasir Mas diperintah bayar ganti rugi RM17.46 juta

Kerajaan Kelantan, Pentadbir Tanah Pasir Mas diperintah bayar ganti rugi RM17.46 juta

Pahang terbuka untuk jumpa bincang dengan wakil Berjaya Hills

Pahang terbuka untuk jumpa bincang dengan wakil Berjaya Hills