
MAX Verstappen mencipta detik manis dengan mengulangi kejayaan sembilan tahun lalu apabila muncul juara Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berlangsung dalam keadaan penuh dramatik lewat petang tadi.
Kemenangan itu cukup bermakna buat pelumba Red Bull yang menjuarai perlumbaan terakhir Formula 1 (F1) di Malaysia pada 2017, ketika berusia 20 tahun.
Selepas sembilan tahun, Verstappen meraih podium tertinggi di Sepang, sekali gus meraih kemenangan sulungnya musim ini dalam perlumbaan yang tertangguh lebih 90 minit akibat hujan.
Juara dunia empat kali itu bermula dari petak pertama, namun berdepan permulaan sukar apabila kehilangan kedudukan kepada dua pelumba Mercedes, Kimi Antonelli dan George Russell dalam keadaan litar basah.
Situasi berubah pada pusingan kesembilan apabila kereta keselamatan dikeluarkan susulan Valtteri Bottas terbabas ke kawasan perangkap batu.
Kebanyakan pelumba mengambil kesempatan itu untuk menukar kepada tayar ‘slick’ ketika permukaan litar semakin kering, dengan Verstappen kemudian merampas semula pendahuluan selepas perlumbaan disambung.
Pelumba Belanda itu membuka jurang dan mengawal perlumbaan sehingga ke garisan penamat untuk meraih 25 mata.
Antonelli menamatkan saingan di tempat kedua untuk Mercedes, manakala pelumba Ferrari, Lewis Hamilton, melengkapkan podium selepas bangkit daripada kedudukan yang agak terkebelakang pada awal perlumbaan.
Hamilton bermula di barisan hadapan dengan tayar kering, namun terpaksa bergelut ketika hujan menyebabkan permukaan litar licin sebelum menggunakan pengalamannya untuk kembali ke kelompok hadapan.
Rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc, menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala pelumba Red Bull, Isack Hadjar, berada di kedudukan kelima.
Nasib malang menimpa Russell yang ketika itu berada di tempat ketiga sebelum terpaksa mengakhiri saingan lima pusingan sebelum tamat akibat masalah dipercayai membabitkan unit kuasa.
GP Bahrain berlangsung di Malaysia susulan isu keselamatan di rantau Teluk ekoran konflik Amerika Syarikat dan Iran.
F1 selepas ini beralih ke Singapura untuk perlumbaan malam dan saingan pecut hujung minggu depan.





