
MARAN – Kerajaan Pahang bertekad menjadikan kejohanan Sepak Takraw League Pahang 1st sebagai platform utama mencungkil bakat baharu dari seluruh negeri, termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejohanan berprestij itu bukan sekadar pertandingan, malah medan strategik melahirkan lebih ramai pemain berkaliber yang mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Menurutnya, sambutan luar biasa daripada anak muda dari setiap daerah membuktikan sukan sepak takraw masih menjadi nadi sukan rakyat Pahang.
“Kita kena bermula dari bawah untuk mencungkil bakat-bakat baharu. Sambutan daripada anak-anak muda juga begitu menggalakkan.
“Harapan kita supaya suatu hari nanti ramai pemain negara datang dari Pahang, mewakili negara serta bertanding di peringkat kebangsaan dan dunia,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kejohanan itu di Balora Mastika Jengka, hari ini.
Penganjuran edisi kali ini menyaksikan Maran diberi penghormatan sebagai tuan rumah, dengan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi memastikan kejohanan itu berjalan lancar.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri berhasrat memperluaskan jaringan pencarian bakat kepada komuniti Orang Asli yang dilihat mempunyai potensi besar dan belum digilap sepenuhnya.
“Kita nak lebarkan lagi kepada masyarakat Orang Asli. Kita nak mencungkil bakat daripada kalangan masyarakat Orang Asli.
“Peluang ini mesti dibuka seluas-luasnya kepada semua anak-anak Pahang,” tegasnya.




