
SHAH ALAM – Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan etika pelaporan media tempatan disaran menggunakan saluran rasmi Majlis Media Malaysia (MMM), kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, sebarang rasa tidak puas hati terhadap laporan media perlu disalurkan melalui mekanisme yang betul bagi mengelakkan salah faham serta tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti industri media.
Menurut Fahmi, orang ramai boleh mengemukakan teguran atau aduan berkaitan tajuk berita mahupun kandungan laporan kepada pihak media melalui mekanisme aduan yang disediakan MMM.
“Sekiranya dari aspek pelaporan oleh media itu sendiri, saya sarankan orang ramai sekiranya ada tajuk berita ataupun apa-apa perkara yang ingin ditegur kepada pihak media, mekanismenya adalah saluran aduan rasmi melalui Majlis Media Malaysia.
“Jadi ada pautan yang boleh kita pergi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Madani Kita bersama komuniti Kota Anggerik @ Shah Alam, di sini, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas isu berkaitan tindakan terhadap laporan atau kandungan media yang dianggap tidak wajar.
Semalam, Kelab Media Putrajaya membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sebuah akaun media sosial yang didakwa menyunting imej petugas media menjadi imej haiwan.
Tindakan itu membabitkan gambar sekumpulan jurugambar dan wartawan yang sedang menjalankan tugas membuat liputan kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Pusara Negara, Putrajaya, pada Khamis lalu.
Kelab berkenaan sebelum ini menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej serta maruah petugas media yang sedang menjalankan tugas.







