
TEMERLOH – Seramai 59 peserta, termasuk warga emas tekun mengikuti pengajian Tafaqquh Fiddin anjuran Yayasan Pahang di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam, dekat Temerloh Jaya sejak 312 minggu lalu.
Kelas yang bermula sekitar 2019 itu diajar pensyarah bertauliah dilantik pihak Yayasan Pahang, setiap hujung minggu.
Seorang daripada peserta yang berjaya menamatkan pengajian itu adalah surirumah, Fatimah Mohd Amran, 56, yang turut muncul peserta terbaik program itu.

Ketika ditemui pada majlis konvokesyen pengajian itu, dia memberitahu proses pengajian selama dua jam setiap sesi banyak membantunya mendalami bidang tasawuf dan fiqah.
“Paling penting ialah sokongan daripada suami dan dorongan daripada anak-anak.
“Melalui kelas ini, saya banyak belajar benda baharu dan mendalami pengetahuan dalam agama Islam.
“Setiap minggu memang ada cabaran berbeza, tapi banyak masanya anak-anak faham,” katanya.
Dia turut berkongsi kesukaran dihadapi ketika negara dilanda pandemik COVID-19, di mana kelas mingguan diadakan secara atas talian.
“Masa COVID-19, kita cuma ada kelas sejam sahaja pada hari Sabtu, dan sejam lagi Ahad.
“Jadi, memang agak sukar nak beri tumpuan, tapi Alhamdulillah anak dan cucu boleh faham… begitu juga suami banyak memberi semangat.
“Tenaga pengajaran juga sangat baik, mereka sentiasa memberi penjelasan dan menjawab setiap persoalan dikemukakan oleh peserta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abdul Razak Abu Musa Saari memberitahu, sejak diperkenalkan tahun 2015,kelas pengajian Tafaqquh Fiddin sudah memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 peserta di seluruh Pahang.
“Sekarang kita juga melebarkan program ini ke Masjid Wilayah, Kuala Lumpur dan Masjid Sultan Zainal Abidin di Putrajaya.
“Kepada peserta yang menerima sijil hari ini, mereka boleh meneruskan kepada kelas Tafaqquh Fiddin Lanjutan (Advanced), namun ia bergantung kepada permohonan dikemukakan pihak masjid dan jumlah peserta yang mahu mengambil bahagian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Datuk Dr Abdullah Ismail berkata, usaha Yayasan Pahang dalam menyediakan ruang kepada peserta mengikuti kelas Tafaqquh Fiddin adalah sangat dihargai.
“Kebanyakan peserta adalah warga emas dan surirumah, walaupun kelas hanya diadakan pada hujung minggu, namun komitmen ditunjukkan peserta dari kariah masjid kami amat luar biasa.
“Kita pun ada hasrat untuk menawarkan kepada kariah yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat advanced, jadi kita akan buat surat (permohonan) dahulu untuk pertimbangan pihak Yayasan Pahang,” katanya.




