
DUNGUN – Sokongan dan keyakinan masyarakat merupakan unsur penting dalam memastikan usaha menjaga keselamatan negara berkesan, khususnya ketika ancaman semakin kompleks dan tidak lagi terbatas kepada bidang ketenteraan.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, berkata kekuatan ketenteraan sahaja tidak mencukupi tanpa hubungan yang kukuh antara pasukan keselamatan dengan masyarakat.
Mengambil pengajaran daripada Perang Vietnam, beliau berkata kelebihan ketenteraan yang besar tidak semestinya menghasilkan penyelesaian keselamatan dan politik yang berkekalan sekiranya sokongan masyarakat tidak diperoleh.
“Konflik itu tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan keadaan Malaysia.
“Ancaman masa kini turut merangkumi bencana alam, jenayah rentas sempadan, ancaman siber, disinformasi dan perkembangan teknologi,” katanya.

Beliau menyampaikan perkara itu ketika merasmikan Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) Markas Angkatan Bersama 2026 di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu.
Dalam keadaan sedemikian, beliau berkata, masyarakat yang memahami isu keselamatan dan mempercayai pasukan keselamatan lebih bersedia untuk bekerjasama.
“Kita membina kepercayaan, dan daripada kepercayaan lahirlah kerjasama,” katanya, sambil menyifatkan masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’ pasukan keselamatan.
Karnival yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober itu dianjurkan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Markas Angkatan Bersama, dengan masyarakat setempat. Program berkenaan turut menyokong Teras 4 Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026–2030, iaitu Pengukuhan Hubungan Awam dan Tentera.
Penganjuran itu juga mendukung pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS), yang menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan, masyarakat dan institusi pertahanan dalam menyokong konsep pertahanan menyeluruh negara.
Antara aktiviti yang disediakan ialah pameran kerjaya ATM dan institusi pengajian tinggi, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, senamrobik, pertandingan mewarna, program kerohanian serta pertunjukan penerjunan bebas oleh anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU).
Karnival itu turut merangkumi program motivasi pendidikan untuk kira-kira 300 pelajar, dengan kerjasama institusi pengajian tinggi dan alumni sekolah berkenaan. Program itu memberi pendedahan mengenai peluang pendidikan tinggi, kerjaya dan pembangunan sahsiah.
Penganjuran CIMIC, menurut beliau, bukan sekadar membawa ATM ke tengah masyarakat, tetapi membuka ruang untuk kedua-dua pihak saling mengenali, memahami cabaran masing-masing dan membina kerjasama yang menyumbang kepada keamanan serta kedaulatan negara.







