
KUALA LUMPUR – Prosiding permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan pendakwaan menghentikan prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, membenarkan penangguhan itu selepas peguam utama Badan Peguam Malaysia, Datuk S. Ambiga, memaklumkan Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada 8 Oktober ini permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu.
Ambiga berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan perlu ditunggu terlebih dahulu sebelum prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi diteruskan.
“Kami berpendapat kita perlu menunggu sehingga permohonan undang-undang berkenaan diputuskan sebelum meneruskan permohonan ini. Oleh itu, kami memohon penangguhan prosiding hari ini,” katanya.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang mewakili Peguam Negara, tidak membantah permohonan itu.
Beliau berkata, prosiding di Mahkamah Persekutuan akan menentukan ujian undang-undang yang terpakai bagi semakan kehakiman dalam perkara membabitkan budi bicara pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan berhubung keputusan prosiding di Mahkamah Persekutuan.
Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 untuk menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.
Ahmad Zahid yang juga responden kedua dalam prosiding berkenaan, pada 25 Mei lalu memfailkan permohonan berasingan bagi mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan berkenaan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, turut memfailkan permohonan berasingan dengan mengemukakan dua persoalan undang-undang utama berkaitan kuasa budi bicara Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga memohon supaya semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu keputusan permohonan kebenaran merayu berkenaan.
Dalam prosiding semakan kehakiman itu, Badan Peguam Malaysia memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang membenarkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi, adalah terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid bagi membolehkan penelitian terhadap bukti baharu dijalankan.







