KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan tular kononnya kerajaan bercadang membenarkan etnik Rohingya mengambil lesen memandu di negara ini.
JPJ dalam kenyataan, berkata laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap penyebaran kandungan berkenaan.
Katanya, kenyataan disiarkan menerusi akaun Facebook Along Auto Parts yang menyerupai berita rasmi dengan tajuk ‘JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu’ adalah palsu.
“JPJ memandang serius tindakan mana-mana pihak yang menghasilkan, mengubah suai atau menyebarkan kandungan dengan menggunakan nama, identiti atau imej jabatan sehingga boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti JPJ.
“Laporan kepada MCMC sudah dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil berhubung penyebaran kandungan berkenaan,” kata kenyataan itu.
Semakan di media sosial mendapati dakwaan sama turut dikongsikan pengguna lain dengan menggunakan imej memaparkan beberapa pegawai JPJ pada satu sidang media.
JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Orang ramai diminta sentiasa merujuk saluran rasmi JPJ bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih,” katanya.





