BANGI – Tiada usul undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikemukakan setakat ini, menjelang Sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 5 Oktober depan.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung usul berkenaan.
Malah, beliau menjelaskan, sehingga kini, pihaknya tidak menerima notis atau cadangan usul berkaitan perkara itu daripada mana-mana pihak.
“Pun tidak dengar langsung. Bukan belum lagi, tidak dengar langsung,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan usul undi tidak percaya dibawa pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Perpaduan agar berbuat demikian secara rasmi dengan mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Johari berkata, beliau juga belum menerima sebarang usul berhubung Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
“Saya dimaklumkan ura-ura itu ada, tapi saya belum terima lagi kertas. Lazimnya, dua minggu sebelum pembentangan (sebarang usul) itu akan dimaklumkan kepada Speaker. Tetapi sekarang ini belum terima apa-apa lagi,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Rang Undang-Undang berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri sudah siap untuk dibawa ke Parlimen dalam sesi akan datang.
Mengikut Takwim Dewan Rakyat yang dipaparkan di laman web Parlimen, Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15 bermula 5 Oktober ini hingga 8 Disember.




