
KABONG – Arena Petanque Pantai Tanjung Kembang bakal menerima suntikan peruntukan RM187,000 bagi menaik taraf kemudahan sukan itu sekali gus memberi nafas baharu kepada komuniti petanque di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir berkata, peruntukan berkenaan disediakan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) Kawasan DUN Kabong.
Menurutnya, antara kerja yang dikenal pasti termasuk penambahbaikan aspek pencahayaan dengan pemasangan lampu solar di sekitar arena berkenaan, selain beberapa skop kerja lain bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengguna.
“Kerja-kerja menaik taraf ini akan dilaksanakan menggunakan peruntukan BDDA Kawasan DUN Kabong sebagai usaha memperkasa kemudahan sukan dan menyediakan prasarana yang lebih selesa kepada komuniti petanque,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Randau Bersama Kelab Boules Kabong di Arena Petanque, Pantai Tanjung Kembang di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Mohd Chee menyifatkan pencapaian atlet petanque anak jati Kabong pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 sebagai bukti bakat dari luar bandar mampu menembusi pentas lebih tinggi.
Watziq Zulfiqrie Dahlan berjaya menyumbangkan pingat emas dalam acara petanque bersama gandingannya, Muhamad Irfan Syazani Fazarullah selepas menewaskan pasangan Johor 13-7 pada aksi final.
Seorang lagi anak jati Kabong, Muhamad Aiman Hazwan Abdul Kadir pula membawa pulang pingat perak dalam acara petanque pada temasya berkenaan.
Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada kontinjen Kelab Boules Kabong yang membawa nama daerah itu ke pentas SUKMA Selangor 2026.
“Ini membuktikan bahawa anak-anak Kabong, walaupun datang dari kawasan luar bandar, mempunyai bakat dan kemampuan.
Mereka mampu sama duduk dan sama berdiri dengan anak-anak yang berada di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu diharap tidak terhenti setakat pentas SUKMA, sebaliknya menjadi batu loncatan untuk kedua-dua atlet berkenaan melangkah lebih jauh dalam karier sukan.
“Jangan berhenti di SUKMA. Teruskan usaha, teruskan latihan dan sasarkan peringkat yang lebih tinggi. Mudah-mudahan suatu hari nanti anak-anak Kabong dapat mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di pentas Sukan SEA dan juga Olimpik,” katanya.
Pada majlis sama, Mohd Chee turut menyumbangkan RM5,000 kepada Kelab Boules Kabong bagi membantu kelab berkenaan melaksanakan aktiviti dan program yang dirancang.

Beliau turut berharap pencapaian Watziq dan Aiman Hazwan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda di Kabong untuk menceburi bidang sukan khususnya petanque serta membuktikan bakat luar bandar mampu diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara ADUN Kabong bersama Kelab Boules Kabong dan komuniti petanque, selain memperkukuh komitmen menyokong pembangunan sukan di kawasan berkenaan.
Foto: ADUN Kabong







