
SANDAKAN – Bantuan keusahawanan akan diperluaskan ke daerah luar bandar di Sabah bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat akses kepada peluang untuk pembangunan dan mengembangkan perniagaan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu antara komitmen kementeriannya untuk memperkukuh komuniti usahawan di luar bandar.
”Selain bantuan, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan memperluaskan program bimbingan keusahawanan serta penganjuran mini ekspo pada skala lebih besar di daerah berkenaan.
“Saya komited untuk memastikan program-program bantuan, termasuk penganjuran mini ekspo serta program bimbingan keusahawanan, dapat diperluaskan pada skala yang lebih besar di daerah-daerah luar bandar.
“Saya akan mengambil pendekatan bekerjasama dengan persatuan-persatuan usahawan atau persatuan komuniti untuk menjayakan inisiatif-inisiatif pembangunan keusahawanan ini,” ujarnya selepas menerima kunjungan usahawan dari Beluran pada Sabtu.
Menurut Ewon, dalam kunjungan tersebut wakil persatuan berkongsi beberapa isu dan cadangan bagi memperkukuh komuniti usahawan di daerah berkenaan.
”Kerjasama dengan persatuan usahawan dan komuniti akan menjadi antara pendekatan bagi memastikan inisiatif pembangunan keusahawanan dapat sampai kepada golongan sasar di luar bandar.
“Saya turut berkongsi dengan mereka beberapa kisah kejayaan usahawan yang bermula pada skala kecil, pernah melalui pelbagai cabaran tetapi kini sangat berjaya,” katanya.





