
TAWAU – Kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau dengan kos keseluruhan kira-kira RM130 juta yang dijangka akan dilaksanakan awal tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara ini diputuskan selepas kelulusan dibuat Jemaah Menteri susulan peningkatan kehadiran pelancong ke Pantai Timur Sabah dan kesesakan yang berlaku di lapangan terbang tersebut.
“Kapasiti Lapangan Terbang Tawau ini hanya boleh menampung 1.5 juta penumpang setahun iaitu 400 penumpang sahaja purata bagi satu jam tetapi melebihi kapasiti iaitu 1.71 juta penumpang pada tahun 2023.
“Pengendalian kargo juga meningkat di Tawau kerana pada tahun lalu kita kendalikan 13,000 tan muatan berbanding 4,000 tan pada 2019 yang kebanyakannya adalah produk segar seperti makanan laut dan sebagainya,” jelasnya kepada media selepas lawatan kerja bagi menaik taraf Lapangan Terbang Tawau, di sini, pada Isnin.
Menurut Loke, kerajaan kini sedang menyenarai pendek 16 syarikat kontraktor untuk penilaian dan lantikan kontraktor utama akan dimuktamadkan awal tahun 2025 agar pelaksanaan projek dibuat segera kerana dijangka mengambil masa sehingga tiga tahun.
“Jika siap, kapasiti 1.5 juta penumpang akan bertambah kepada 2.5 juta penumpang setahun, keluasan daripada 15,800 meter persegi kepada 23,800 meter persegi dengan perluasan kiri dan kanan lapangan terbang.
“Naik taraf ini juga akan melibatkan penambahaan dari 12 ke 20 kaunter daftar masuk dan sepenuhnya berhawa dingin,” tambahnya.
Beliau berkata, sebagai usaha awal memberi keselesaan kepada pengunjung dan penumpang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diarah mengambil langkah segera untuk menambah ‘air cooler’ di ruangan menunggu, kawasan Imigresen dan bahagian lain yang menjadi tumpuan di lapangan terbang terbabit.
Jelasnya, papan tanda bahasa juga akan ditambah berikutan peningkatan pelancong luar negara yang menjadi keperluan untuk memudahkan urusan mereka.
“Sekarang ini ramai penumpang luar negara, bukan sahaja bahasa Inggeris, tapi juga bahasa Mandarin dan Arab, justeru ‘signage’ ini bertujuan memberi penerangan lebih jelas pada penumpang dalam dan luar negara.
“Kakitangan yang boleh pelbagai bahasa juga seperti berbahasa Mandarin akan ditambah dan ditempatkan di kawasan lapangan terbang bagi membantu pelancong menyelesaikan segera proses daftar masuk atau lain-lain,” tambahnya.







