
KANGAR – Gara-gara takut ditahan pihak berkuasa, penunggang motosikal sanggup meredah sawah dan mengangkat motosikal melintasi besi penghadang jalan untuk melarikan diri.
Begitulah situasi yang berlaku selepas pihak polis Kangar melaksanakan Op Motosikal di beberapa kawasan tumpuan sekitar Kuala Perlis bermula petang semalam sehingga awal pagi tadi.
Sebanyak 580 buah motosikal telah diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kangar di kawasan tumpuan muda mudi di sini.
Operasi tersebut berlangsung dari pukul 4 petang hingga 4 pagi di kawasan strategik seperti Jalan Kuala Perlis-Changloon, Jalan Pesisir Pantai Kuala Perlis, dan Jalan Kurong Tengar.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Md Yusop berkata, seramai 58 pegawai dan anggota polis telah terlibat dalam operasi besar-besaran ini.
“Hasil operasi itu, sebanyak 561 saman telah dikeluarkan ke atas penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Kami telah memeriksa seramai 580 individu yang menunggang motosikal sepanjang operasi tersebut,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press hari ini.

Tambah beliau, 135 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan teknikal seperti pengubahsuaian struktur motosikal.
Antara kesalahan paling kerap dikesan ialah tiada lesen memandu, penggunaan nombor plat tidak mengikut peraturan, serta pengubahsuaian ekzos yang melanggar undang-undang.
Yusharifuddin turut menjelaskan bahawa operasi sebegini akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan menjaga keselamatan diri mereka serta orang lain.
“Kami komited untuk melaksanakan operasi berkala seperti ini sebagai langkah mendidik penunggang motosikal agar mematuhi undang-undang dan mengurangkan risiko kemalangan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, dua individu telah ditahan dalam operasi tersebut atas kesalahan jenayah melibatkan pengubahan motosikal tanpa kebenaran dan kesalahan dadah.





