
KUALA LUMPUR – Konsep Malaysia MADANI bukan sekadar slogan atau retorik kerajaan, sebaliknya falsafah pembangunan yang mempunyai asas pemikiran mendalam dan perlu difahami secara menyeluruh oleh semua pihak, kata Ketua Cabang PKR Rembau, Senator Dr Jufitri Johar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, konsep berkenaan sudah diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan bukan gagasan yang muncul semata-mata selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, konsep itu turut dibahaskan secara ilmiah dan praktikal menerusi buku tulisan Anwar, Gelombang Kebangkitan Asia yang diterbitkan pada 1997.
“Konsep MADANI merupakan konsep yang baik dan telah diilhamkan oleh Datuk Seri Anwar sejak beliau menjadi TPM.
“Ia bukan sekadar slogan tetapi falsafah pembangunan mendalam dibahaskan secara ilmiah dan praktikal dalam buku tulisan PMX, Gelombang Kebangkitan Asia terbitan 1997,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Sabtu.
Jufitri berkata, sekiranya semua pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memahami sejarah dan falsafah MADANI, mereka akan melihatnya sebagai gagasan yang lebih besar daripada sekadar nama atau penjenamaan kerajaan.
Katanya, falsafah berkenaan bertujuan membawa Malaysia ke arah negara yang mampu menjadi pemimpin dunia dalam usaha membentuk dunia lebih adil, sejahtera dan makmur.
“Justeru saya yakin jika mana-mana pihak termasuk TPM 1 faham akan sejarah dan falsafah MADANI, maka mereka akan faham ia bukan sekadar slogan retorik Kerajaan tetapi ia falsafah yang mahu membawa Malaysia sebagai pemimpin dunia ke arah dunia yang lebih adil, sejahtera dan makmur,” katanya.
Beliau berkata, kefahaman terhadap konsep berkenaan juga akan membolehkan semua pihak menyokong dan bersama-sama menjayakannya, termasuk dalam konteks Kerajaan Perpaduan.
“Apabila mereka faham, mereka akan sokong dan sama-sama menjayakannya dan bukannya mempersoalkan bahkan tidak ada masalah jika Kerajaan Perpaduan menggunakan falsafah MADANI yang benar-benar mendalam dan mengakar serta menjadi penyelesaian permasalahan rakyat terbawah,” katanya.
Jufitri berkata, perkara lebih penting ialah memastikan falsafah MADANI diterjemahkan menerusi dasar dan tindakan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat, khususnya golongan terbawah, bukannya sekadar menjadi istilah politik.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga boleh menjadi asas kepada usaha kerajaan menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat secara lebih menyeluruh dan berteraskan nilai keadilan serta kesejahteraan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 semalam mempersoalkan bagaimana nama Kerajaan Perpaduan yang dipersetujui bersama bertukar menjadi Kerajaan MADANI.
Presiden UMNO itu turut mengingatkan rakan dalam kerjasama politik supaya menghormati persefahaman yang dicapai, selain menegaskan identiti UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal walaupun parti itu bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.






