
PERTEMUAN antara wakil diplomatik Amerika Syarikat (AS) dengan pemimpin pembangkang bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada amalan diplomasi untuk memahami perkembangan politik sesebuah negara, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Prof Dr Tajuddin Mohd Rasdi.
Beliau berkata, negara asing lazimnya akan berhubung dengan pelbagai pihak, termasuk parti pembangkang, terutama apabila terdapat kemungkinan berlaku perubahan kerajaan.
“Kalau ada pertemuan itu, bagi saya ia adalah perkara biasa dalam diplomasi. Mereka mahu mendapatkan maklumat dan mengenali siapa pihak yang mungkin menjadi kerajaan baharu.
“Takkan mereka hendak tunggu sehingga kerajaan bertukar dahulu, baru hendak pergi berjumpa. Mereka mesti mahu tahu siapa orangnya, pendirian politiknya dan bagaimana hubungan mereka dengan negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa wakil AS pernah menawarkan bantuan kepada Pas untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Abdul Hadi mendakwa perkara itu berlaku ketika lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia dan ketika Pas masih sebahagian daripada Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, Kedutaan AS dilaporkan menafikan dakwaan berhubung pertemuan berkenaan.
Tajuddin berkata, hubungan dan pertemuan dengan pihak pembangkang perlu dilihat dalam konteks tugas diplomatik dan tidak boleh terus dianggap sebagai usaha campur tangan dalam urusan politik negara.
Menurutnya, diplomat perlu mengetahui pendirian semua pihak yang mempunyai potensi mempengaruhi hala tuju politik sesebuah negara.
“Kalau Pakatan Rakyat ketika itu mempunyai kemungkinan untuk menjadi kerajaan, sudah tentu mereka mahu tahu siapa pemimpin gabungan itu, apa pendirian mereka dan sama ada mereka mempunyai kecenderungan tertentu terhadap AS.
“Itu kerja diplomasi. Mereka mahu memahami politik negara yang mempunyai hubungan dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan diplomatik juga tidak semestinya dilakukan secara terbuka atau dengan menggunakan pegawai diplomatik secara rasmi kerana terdapat pelbagai saluran komunikasi yang boleh digunakan.
“Mungkin bukan pegawai diplomatik yang datang secara terang-terangan. Kadang-kadang mereka menggunakan orang lain untuk mendapatkan maklumat.
“Kalau benar ada perbincangan tertentu, tidak semestinya mereka akan menyatakan sesuatu secara terus kerana bahasa diplomasi memang mempunyai cara tersendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, persoalan lebih penting ialah sama ada wujud bukti kukuh bahawa pertemuan itu mempunyai tujuan untuk menjatuhkan kerajaan atau sekadar pertemuan bagi memahami perkembangan politik Malaysia.
“Kalau kita mahu kata mereka campur tangan dalam politik Malaysia, kita perlukan bukti. Kalau sekadar berjumpa dan bertanya mengenai keadaan politik, itu belum cukup untuk mengatakan mereka mahu campur tangan.
“Kita yang tidak berada dalam pertemuan itu hanya boleh membuat andaian atau spekulasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan berkenaan juga perlu dilihat berdasarkan kedudukan Pas ketika itu sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat, bukannya sebagai sebuah parti yang bergerak bersendirian.
“Amerika bukan berjumpa Pas kerana mereka suka Pas. Pas ketika itu sebahagian daripada Pakatan Rakyat. Jadi, kalau mereka mahu memahami pembangkang, Pas memang antara pihak yang perlu mereka kenali.
“Mereka mahu tahu bagaimana gabungan itu berfungsi, siapa pemimpinnya dan siapa yang berpotensi menjadi Perdana Menteri sekiranya berlaku perubahan kerajaan,” katanya.
Jelasnya, adalah menjadi kebiasaan bagi negara asing menilai pendirian parti politik yang berpotensi membentuk kerajaan, terutama menjelang pilihan raya.
“Jangan kita terus melihat pertemuan diplomatik sebagai sesuatu yang mencurigakan. Diplomasi memang melibatkan pertemuan dengan pelbagai pihak.
“Yang perlu kita persoalkan ialah apakah yang berlaku dalam pertemuan itu dan apakah bukti bahawa terdapat cubaan untuk mempengaruhi atau menjatuhkan kerajaan,” katanya.





