UMNO perlu kekal sebagai ‘critical stabiliser’ Kerajaan Perpaduan, bawa suara akar umbi – Penganalisis

UMNO boleh memainkan peranan sebagai ‘critical stabiliser’ dalam Kerajaan Perpaduan dengan terus membawa suara akar umbi dan mengkritik dasar tertentu apabila perlu, tanpa mencetuskan ketidakstabilan politik, kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi.

Awang Azman berkata, kedudukan UMNO dalam kerajaan tidak bermakna parti itu perlu kehilangan identiti, sebaliknya masih boleh mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera serta menyuarakan pandangan berbeza secara bertanggungjawab.

“UMNO boleh berbeza pendapat, membawa suara akar umbi Melayu dan Bumiputera, bahkan mengkritik dasar tertentu, tetapi pada masa sama menjadi unsur yang membantu memastikan kerajaan tidak terjerumus ke dalam politik ketidakstabilan seperti yang pernah dialami negara sebelum ini.

“Dengan kata lain, UMNO boleh menjadi ‘critical stabiliser’ iaitu kritikal apabila perlu, tetapi bertanggungjawab terhadap kestabilan negara,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan susulan perbezaan pandangan serta pertikaian terbuka dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.

Tuan Ibrahim turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan pembubaran Parlimen bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan mandat baharu, susulan dakwaan bahawa kerajaan ketika ini berdepan masalah kestabilan.

Awang Azman berkata, perbezaan pendapat dalam kerajaan gabungan tidak semestinya bermaksud kerajaan tidak stabil kerana parti seperti UMNO, PKR, DAP, Amanah serta parti dari Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah, ideologi dan kelompok pengundi yang berbeza.

“Dalam sebuah kerajaan gabungan yang besar, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang hampir tidak dapat dielakkan.

“Ukuran kestabilan yang lebih objektif ialah sama ada kerajaan masih mempunyai keupayaan membuat keputusan, melaksanakan dasar, mengurus ekonomi dan mengekalkan keyakinan institusi,” katanya.

Beliau berkata, prestasi ekonomi juga perlu diambil kira ketika menilai kemampuan kerajaan mentadbir, bukan hanya berdasarkan kenyataan keras antara pemimpin politik.

Katanya, ekonomi Malaysia berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya, manakala pertumbuhan separuh pertama tahun ini ialah 5.7 peratus dengan inflasi Julai sekitar 1.8 peratus.

“Ini menunjukkan di sebalik suhu politik yang meningkat, jentera ekonomi dan pentadbiran negara masih bergerak.

“Rakyat tidak wajar menilai kerajaan hanya daripada satu atau dua kenyataan keras antara pemimpin parti. Politik demokratik memang mempunyai bunyi bisingnya, tetapi yang lebih penting ialah hasilnya,” katanya.

Mengulas gesaan supaya Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu, Awang Azman berkata, pendirian berkenaan adalah hak politik pembangkang, namun perbezaan politik tidak secara automatik mewujudkan keperluan untuk pilihan raya awal.

“Selagi kerajaan masih berfungsi dan mempunyai mandat untuk mentadbir, persoalannya ialah sama ada pilihan raya awal benar-benar diperlukan untuk kepentingan rakyat atau sekadar menjadi sebahagian daripada tekanan dan kedudukan politik menjelang PRU16,” katanya.

Beliau berkata, UMNO boleh meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi PRU16 tanpa perlu mencetuskan krisis politik bagi mempercepatkan pembubaran Parlimen.

“UMNO boleh meningkatkan kesiapsiagaan PRU16 sambil terus menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dirasai rakyat.

“Pilihan raya akhirnya akan tiba, tetapi sebelum itu rakyat akan bertanya apa yang telah dilakukan terhadap pendapatan, kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar dan masa depan ekonomi,” katanya.

Awang Azman berkata, jika politik pilihan raya mengambil alih pentadbiran terlalu awal, negara berisiko memasuki tempoh panjang permanent campaigning yang boleh menjejaskan keyakinan ekonomi dan penyampaian dasar.

“Persaingan yang lebih baik sekarang bukan siapa paling cepat mahu PRU, tetapi siapa paling banyak menyelesaikan masalah rakyat sebelum PRU.

“Dalam medan seperti itu, UMNO mempunyai ruang besar untuk membina semula kekuatannya melalui rekod pentadbiran dan penyelesaian masalah rakyat,” katanya.

Related Posts

Sailang kerusi DUN Sungai Udang, bukti UMNO pinggirkan Wawasan

TINDAKAN Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dilihat mencabar kedudukan Wawasan yang memberi isyarat bahawa kerusi Parlimen turut akan dirampas UMNO pada Pilihan Raya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kes Nik Nazmi jadi liabiliti buat 15 calon Bersama di PRN Melaka – Penganalisis

ISU moral yang membabitkan tangkapan khalwat ke atas pemimpin parti Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini bakal menjadi beban kepada kesemua 15 calon parti itu yang bertanding di Pilihan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Wakil Astro AWANI Pahang meninggal dunia

Wakil Astro AWANI Pahang meninggal dunia

Sailang kerusi DUN Sungai Udang, bukti UMNO pinggirkan Wawasan

Sailang kerusi DUN Sungai Udang, bukti UMNO pinggirkan Wawasan

Kes Nik Nazmi jadi liabiliti buat 15 calon Bersama di PRN Melaka – Penganalisis

Kes Nik Nazmi jadi liabiliti buat 15 calon Bersama di PRN Melaka – Penganalisis

Sejambak Kasih Deepavali santuni 60 individu terima sumbangan RM350 seorang

Sejambak Kasih Deepavali santuni 60 individu terima sumbangan RM350 seorang

PKR tampil tujuh muka baharu, empat calon muda PRN Melaka

PKR tampil tujuh muka baharu, empat calon muda PRN Melaka

Akmal dulu beri AGC dua hari, kini representasi ditolak

Akmal dulu beri AGC dua hari, kini representasi ditolak