KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan mempergiatkan usaha pencegahan banjir lebih awal.
Menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, Al-Sultan Abdullah bertitah, pihak berkaitan perlu memberikan perhatian segera terhadap kerja-kerja pembersihan dan pendalaman parit serta longkang, khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir ketika memasuki bulan September.
“Baginda turut bertitah agar pihak berkaitan memastikan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan secara berperingkat berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” menurut hantaran itu.
Hantaran berkenaan memaklumkan Sultan Pahang bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini, semalam.
Al-Sultan Abdullah turut menitahkan kerajaan negeri dan agensi terlibat supaya terus memantau serta mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah secara haram di seluruh Pahang dengan lebih berkesan, tegas dan bijaksana berlandaskan undang-undang.
“Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana perkembangan kes-kes mahkamah berkaitan pencerobohan tanah haram dilihat memihak kepada Kerajaan Negeri Pahang,” menurut hantaran itu.






