KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Solar Fotovolta Terapung Empangan Chereh bernilai RM850 juta.
Projek tenaga boleh baharu berskala mega itu dibangunkan secara bersama oleh Citaglobal Bhd, TIZA Global dan syarikat gergasi tenaga Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Future Energy Company (MASDAR).
Menurut laporan Berita Harian, projek seluas 600 hektar di atas permukaan empangan itu dijadualkan bermula Januari tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Mac 2028.
Al-Sultan Abdullah bertitah projek berkenaan membawa makna besar kepada Pahang dalam menerajui teknologi tenaga boleh baharu.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri, Citaglobal dan MASDAR kerana projek solar ini antara yang terbesar di Asia Tenggara. Projek ini juga memberikan peluang pekerjaan dan dapat disiapkan secepat mungkin,” titah baginda.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Bhd, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Projek MASDAR, Abdulla Zayed.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Citaglobal, Datuk Aimi Aizal Nasharuddin berkata, projek itu bakal mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan khususnya dalam bidang kejuruteraan, pembinaan dan kejuruteraan elektrik.
“Kita menggunakan permukaan air seluas 600 hektar di Empangan Chereh. Projek dijangka bermula awal tahun depan dan siap Mac 2028,” katanya.
Apabila siap kelak, ia akan menjadi loji solar terapung sepenuhnya terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti 200 megawatt yang mampu menjana tenaga elektrik bersih untuk kira-kira 100,000 buah rumah setiap tahun.


