
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) belum menjadi pertimbangan kerajaan ketika ini, selagi pendapatan rakyat belum mencapai tahap munasabah dan kos sara hidup masih membebankan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada penambahbaikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi memastikan sistem percukaian negara mengambil kira kemampuan rakyat serta keperluan menjana hasil.
Beliau berkata, pendekatan itu turut mempertimbangkan kos pematuhan yang perlu ditanggung perniagaan, selain kesan pelaksanaan cukai terhadap golongan berpendapatan rendah.
“GST cenderung bersifat regresif kepada golongan berpendapatan rendah dan membelanjakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk barangan dan perkhidmatan.
“SST pula memberi ruang kepada pendekatan lebih progresif dan bersasar, di mana kerajaan boleh memilih barang dan perkhidmatan untuk dikenakan cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah berkata, skop SST boleh ditentukan dengan lebih bersasar bagi mengambil kira kemampuan pengguna, meskipun sebahagian beban cukai berpotensi dipindahkan kepada mereka melalui harga barangan dan perkhidmatan.
Dari segi pematuhan, beliau berkata, hampir 700,000 peniaga atau 90 peratus perniagaan berdaftar di bawah GST pada 2018, berbanding hanya 130,000 perniagaan berdaftar di bawah SST pada 2026.
Katanya, perbezaan itu menunjukkan pelaksanaan GST membabitkan lebih banyak syarikat yang perlu mengurus pelaporan dan menanggung kos pematuhan cukai.
“Seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selagi pendapatan rakyat belum di tahap munasabah dan kos sara hidup masih membebankan pelaksanaan semula GST belum menjadi pilihan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, kutipan SST menunjukkan peningkatan susulan penambahbaikan sistem percukaian berkenaan.
Berdasarkan Tinjauan Fiskal 2027, kutipan SST meningkat daripada RM5.9 bilion pada 2025 kepada anggaran RM67 bilion tahun ini dan diunjurkan mencecah RM73.3 bilion pada 2027.
Beliau berkata, kutipan berkenaan meningkat RM17.4 bilion dalam tempoh dua tahun.
“Kutipan SST pada masa itu mencecah tiga peratus daripada KDNK, iaitu tahap sama dengan GST pada 2017.
“Ini bermakna, saranan untuk menggantikan SST dengan GST tidak semestinya menjana hasil tambahan.
“Ia hanya mengalihkan tanggungan cukai daripada sektor perniagaan, termasuk eksport kepada rakyat sepenuhnya,” katanya.

