
KUCHING – Keunikan adat resam, budaya dan tradisi masyarakat Kiput bakal diketengahkan menerusi Festival Adit Mucu’ut 2026 yang dijadual berlangsung selama dua hari pada 5 hingga 6 Disember ini di Dewan Suarah Marudi.
Penganjuran festival berkenaan merupakan antara usaha Persatuan Lakiput Sarawak (PLS) memperkenalkan kekayaan warisan masyarakat Kiput kepada khalayak lebih luas, selain memastikan khazanah budaya yang diwarisi turun-temurun terus dipelihara.
Penaung PLS, Datuk Seri Dr Josephine Duyuk Tuah berkata, festival itu turut mendapat sokongan kerajaan Sarawak menerusi kelulusan geran RM50,000 daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Menurutnya, perkembangan berkenaan dimaklumkan susulan pertemuan bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menterinya (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak atas perhatian, keprihatinan dan sokongan yang diberikan terhadap usaha persatuan memartabatkan warisan kebudayaan masyarakat Kiput.
Josephine turut menghargai komitmen kementerian dalam menyokong penganjuran festival kebudayaan yang memberi ruang kepada komuniti tempatan memperkenalkan identiti serta keunikan warisan masing-masing.
Menurutnya, sokongan berkenaan amat bermakna kepada PLS dalam memastikan adat resam, tradisi dan nilai budaya masyarakat Kiput terus dikenali serta dihargai, khususnya oleh generasi muda.
Beliau berkata, penganjuran festival itu bukan sahaja membuka peluang memperkenalkan warisan masyarakat Kiput kepada pengunjung luar, malah menjadi wadah mempererat hubungan kekeluargaan dan semangat kebersamaan dalam komuniti.
“Festival ini merupakan peluang untuk kita memperkenalkan budaya, memartabatkan warisan nenek moyang dan mengukuhkan perpaduan dalam komuniti,” katanya ketika Mesyuarat Agung Tahunan PLS pada Mac lalu.
Josephine turut menekankan kepentingan penglibatan generasi muda dalam memastikan khazanah budaya yang diwarisi sejak turun-temurun tidak semakin dilupakan akibat perubahan zaman.
Menurutnya, golongan muda perlu diberikan ruang untuk mengenali, menghayati dan meneruskan amalan tradisi supaya identiti masyarakat Kiput kekal terpelihara.
Dalam pada itu, Festival Adit Mucu’ut 2026 turut berpotensi memperkenalkan Marudi sebagai destinasi pelancongan budaya, selain membuka peluang kepada masyarakat luar mendekati keunikan warisan komuniti berkenaan.
Penganjuran festival tersebut juga dijangka memberikan ruang kepada peniaga tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, PLS yang diterajui Presidennya, Dr Gabriel Karl Wing terus memberikan penekanan kepada usaha memperkukuh hubungan komuniti dan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti kebudayaan.
Festival berkenaan diharap dapat menjadi platform mempererat perpaduan masyarakat, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan warisan serta memastikan adat dan budaya masyarakat Kiput terus diwariskan kepada generasi akan datang.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penganjuran Festival Adit Mucu’ut 2026 boleh menghubungi Setiausaha PLS, Mary Karl di talian 013-833 6893 atau Bendaharinya, Merileen di talian 017-220 3995.

