
KUALA LUMPUR – Peruntukan pembangunan yang disediakan Kerajaan Persekutuan bagi empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) membuktikan dakwaan kononnya negeri terbabit dianaktirikan adalah tidak berasas.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perancangan pembangunan kerajaan mengambil kira keperluan setiap negeri, termasuk usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Beliau berkata, Kelantan misalnya, mempunyai 509 projek pembangunan bagi 2027 dengan kos keseluruhan RM31.21 bilion.
Katanya, peruntukan Persekutuan bagi perbelanjaan pembangunan empat negeri berkenaan adalah 6.8 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah yang diminta.
“Dalam kita berbahas untuk merancakkan pembangunan ekonomi masing-masing, Kerajaan Persekutuan tidak melihat keperluan meminggirkan mana-mana negeri.
“Sehubungan itu, saya berharap pihak sana mengeluarkan kenyataan yang lebih adil,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, agihan peruntukan pembangunan juga perlu dinilai berdasarkan tahap pembangunan sesebuah negeri dan keperluan merapatkan jurang ekonomi, bukan semata-mata melalui perbandingan jumlah peruntukan.
Menurutnya, Kelantan berpotensi menerima peruntukan lebih tinggi sekiranya penilaian dibuat berdasarkan nisbah tertentu, termasuk jumlah penduduk.
Beliau berkata, keperluan pembiayaan pembangunan turut berbeza mengikut negeri, khususnya membabitkan penyediaan infrastruktur dan pembukaan kawasan perindustrian baharu.
“Sebagai contoh, bagi negeri yang lebih membangun, kos pembangunan infrastruktur mungkin ditanggung oleh kerajaan negeri apabila kawasan perindustrian baharu dibuka.
“Namun, bagi pembangunan kawasan seperti Tok Bali di Kelantan dan Kulim Hi-Tech Park, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan, termasuk bagi urusan pembelian tanah, bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dan jurang pembangunan dapat dirapatkan,” katanya.

